Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu meminta maaf kepada rakyat kerana gagal melaksanakan sepenuhnya manifesto dijanjikan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Kenyataan itu sekali gus bercanggah dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan yang juga Presiden PKR yang menegaskan kerajaan tidak perlu memohon maaf terhadap kegagalan melaksanakan 10 janji 100 hari PH seperti terkandung dalam manifesto.
Ketua Umum PKR itu berkata setiap perkara yang dijanjikan dalam manifesto itu perlu ditunaikan walaupun mengambil tempoh panjang.
“Apa yang kita janji, kita kena menjalankan usaha dan ikhtiar untuk tunaikan. Itu janji, tetapi jika sudah ikhtiar sedaya upaya, ada masalah, kita kena minta maaf dan minta tangguh serta minta tempoh.
“Jangan kita pertikaikan janji sendiri, soal pendekatan saya katakan tidak semua janji yang dapat kita tunaikan kerana kita pun tidak tahu masalah ekonomi kita begitu rumit, hutang begitu banyak,” katanya dalam wawancara bersama NSTP di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.
Bagaimanapun, Presiden PKR itu berkata, kerajaan akan berusaha memastikan segala janji terlaksana kerana ada yang ditunaikan seperti pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Dewan Rakyat, selain pemberian insentif kepada suri rumah menerusi Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri).
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan perlu memaklumkan kepada rakyat setiap janji yang sudah dilaksanakan.
Perlu ada sifat rendah diri, tawaduk, sifat yang mulia perlu ada pada rakyat dan kalangan pemimpin.
“Soal netizen kritik di media, kita kena terima. Di media diberikan ruang dan kebebasan dan jika berasa pandangan itu meluas, jawablah. Jangan risau sangat orang kritik, minta maaflah dan minta tempoh. Saya tidak fikir rakyat akan begitu keras,” katanya.
Wartawan Watan-Online
No comments
Post a Comment