NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ulama, tokoh bahasa: Guan Eng, Tommy bukti HARAPAN pinggir bahasa Melayu

Bendahari Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Khairuddin Aman Razali menyifatkan Lim Guan Eng dan Tommy Thomas merupakan bukti Pakatan Harapan (HARAPAN) meminggirkan bahasa Melayu.

Anggota parlimen Kuala Nerus itu merujuk penggunaan bahasa Mandarin dalam kenyataan media menteri kewangan dan kekecohan yang terjadi pada sidang media peguam negara di mahkamah Kuala Lumpur, semalam.

"Kerajaan HARAPAN mesti menunjukkan kesungguhan mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

"Jangan memberi isyarat yang salah kepada rakyat bahawa HARAPAN telah meruntuhkan tonggak asas bernegara yang telah dipersetujui oleh semua kaum," katanya dalam kenyataan yang dibuat melalui Facebook hari ini.

Khairuddin turut mengingatkan Perkara 152(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan keperluan penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan.

"Semalam pula, Tommy Thomas yang mengetuai pasukan pendakwa raya ke atas kes melibatkan Datuk Seri Najib Razak memohon agar prosiding di Mahkamah Tinggi dijalankan menggunakan Bahasa Inggeris. Ia barangkali berikutan penguasaan Bahasa Melayu yang lemah oleh beliau.

"Sidang media yang mahu diadakan oleh beliau selepas itu juga turut dibatalkan pada peringkat awal selepas didesak oleh orang ramai supaya beliau menggunakan bahasa Melayu.

"Selaku Peguam Negara, beliau sepatutnya lebih memahami akan tuntutan Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang mahukan segala prosiding dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau mana-mana Mahkamah Rendah dijalankan menggunakan bahasa kebangsaan," katanya.

Menteri Kewangan sebelum ini dikritik kerana mengeluarkan kenyataan media berbahasa Cina di Facebook bagi mempertahankan tindakannya mengeluarkan kenyataan tiga bahasa, termasuk bahasa Melayu, Inggeris dan Cina ketika membincangkan isu Tun Razak Exchange.

Lim bagaimanapun kemudian tampil menjelaskan kementeriannya tetap menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan hanya menterjemah kenyataan media tertentu dalam bahasa lain jika perlu.

Tokoh bahasa kecewa

Sementara semalam, kekecohan terjadi susulan penyokong bekas perdana menteri mendesak peguam negara menggunakan bahasa Melayu dalam sidang medianya. 

Sidang media itu diadakan selepas pendakwaan Najib di Mahkamah Kuala Lumpur.

Peguam negara yang baru dilantik itu sebelum ini mengakui kelemahan dan berjanji meningkatkan penguasaan bahasa Melayunya.

Mengulas perkembangan sama, pakar linguistik Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim menyatakan kekecewaan dengan sikap sesetengah pengamal undang-undang yang menjadikan penggunaan bahasa Inggeris dalam mahkamah sebagai amalan biasa.

Nik Safiah yang dipetik media turut menambah, tokoh bahasa sudah lama mendesak supaya bahasa Melayu digunakan dalam setiap urusan rasmi, namun pengecualian diberikan dalam beberapa keadaan untuk urusan mahkamah dengan tujuan untuk mencapai keadilan.

"Memang kelonggaran ada diberikan untuk urusan mahkamah, tetapi ramai peguam menggunakan alasan ini untuk tidak menggunakan bahasa Melayu dalam perbicaraan.

"Sampai bila kita mahu memberikan kelonggaran begini? Sepatutnya jika kita tidak mahir, kita belajar dan berusaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu kita," katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.



No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo