SHAH ALAM: UMNO disaran untuk memberikan tumpuan sebagai pembangkang buat kali pertama di Parlimen minggu hadapan berbanding melaksanakan cadangan meletakkan calon di bawah logo parti itu untuk bertanding di pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, saranan yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bertanding atas ‘nama sendiri’ pada PRK berkenaan seolah-olah terlalu awal lebih-lebih lagi UMNO baru sahaja selesai pemilihan kepimpinan dalaman.
Menurutnya, UMNO seharusnya menggunakan tempoh masa sehingga hujung tahun ini untuk melihat punca kenapa terhakisnya sokongan, memulihkan parti dan membina pasukan yang lebih mantap di bawah kepimpinan baharu.
“Selain memberi tumpuan sebagai pembangkang di Parlimen, UMNO juga harus bagi tumpuan kepada mengekalkan 51 kerusi sekarang dan memastikan 51 kerusi ini masih lagi kekal bersama UMNO, serta merapatkan semula barisan dalam parti di bawah kepimpinan baharu.
“UMNO juga perlu berikan saingan kepada populariti Pakatan Harapan (Harapan) sebab UMNO masih lagi mempunyai kerusi yang banyak. Jika dibandingkan di antara semua parti yang memberikan keutamaan kepada masyarakat Melayu, UMNO unggul (dari segi kerusi),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Sivamurugan berkata, sebagai pembangkang, UMNO perlu menunjukkan komited ke atas isu-isu tertentu termasuk isu-isu yang mahu diperjuangkan oleh UMNO selepas ini.
“Bukan sekadar isu agama, bangsa dan tanah air, isu berkenaan dasar kerajaan juga perlu diberikan keutamaan sebab mereka (UMNO) pernah mentadbir selama 61 tahun,” katanya.
Sementara itu, Sivamurugan menegaskan sekiranya UMNO tetap mahu meneruskan cadangan berkenaan, UMNO perlu mendapatkan persetujuan daripada Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) memandangkan ia masih lagi wujud.
“Mungkin ada baiknya mendapat persetujuan supaya dilihat mengikut saluran yang betul. Ini mirip apa yang dibuat Harapan. Walaupun wujud didaftarkan secara rasmi (Harapan) tetapi menggunakan logo PKR, tidak akan guna logo Harapan.
“Sama konsep di sini, bagi BN untuk menggunakan UMNO, sama seperti apa yang diamalkan Harapan. Cumanya Harapan dah berbincang dalam majlis tertinggi mereka (Harapan) dan membuat keputusan logo PKR dalam PRU14,” katanya.
Menurutnya, dia tetap berpendapat UMNO perlu memberikan laluan kepada pihak lain bertanding di PRK Sungai Kandis.
“Mungkin tempoh masa ini lebih sesuai untuk memulihkan prestasi atau pun masalah-masalah yang wujud dalam UMNO dan BN. Bila benar-benar dah bersiap sedia baru buat keputusan untuk bertanding.
“Mungkin juga tempoh masa ini lebih sesuai untuk memastikan kesepaduan dalam parti itu diutamakan daripada bertanding dalam PRK kerana jika menang sekalipun itu tidak mengubah kedudukan mereka dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor,” katanya.
Menurutnya, jika cubaan berkenaan berakhir dengan kekalahan, keputusan berkenaan akan memberi impak yang besar kepada legitemasi, moral UMNO dan kepimpinan baharu.
“Jika dicampur kesemua calon yang bertanding dalam PRU14 lalu menentang Allahyarham Mat Shuhaimi pun tidak akan dapat menyaingi jumlah undi yang diperoleh oleh Allahyarham Mat Shuhaimi,” katanya.
Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.
Pada PRU lalu, Mat Shuhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).
No comments
Post a Comment