NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Najib terkilan kerajaan PH beku akaun parti pembangkang


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak terkilan dengan tindakan kerajaan membekukan akaun bank UMNO dan pelbagai parti pembangkang lain termasuk Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Bekas Perdana Menteri berkata, tindakan itu dibuat kerana parti politik terbabit disyaki menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), yang kononnya dibelanjakan untuk pilihan raya umum.

"PRU-13 diadakan lima tahun lalu dan sepatutnya akaun bank parti politik terbabit dibenarkan beroperasi seperti biasa kerana ia tidak akan menjejaskan siasatan yang sedang dilakukan.

"Bukankah rekod transaksi akaun bank berkenaan mudah diperoleh sekiranya diperlukan penyiasat?

"Saya juga sedih apabila seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) turut meminta kerajaan membekukan akaun bank parti politik lain seperti MCA, MIC dan Gerakan," katanya menerusi Facebook rasminya, hari ini.

Beliau berkata, adalah tidak wajar untuk membekukan akaun bank yang akan menjejaskan kegiatan dan pembinaan semula parti pembangkang.

"Ia juga akan memberi kepayahan kepada kakitangan serta keluarga mereka yang digaji parti.

"Tindakan ini juga akan menjejaskan program kemasyarakatan yang berterusan dilakukan parti terutama bagi membantu rakyat yang masih memerlukan.

"Membekukan akaun bank parti terbesar ini akan menjejaskan kebangkitan pembangkang yang berkesan dan dapat dilihat sebagai serangan atau penafian terhadap asas demokrasi," katanya yang turut menegaskan UMNO dan SUPP tidak bersalah.

Tambah Najib, adalah satu kelaziman untuk menerima derma politik sebagaimana parti politik lain termasuk parti dalam gabungan PH dan tiada peruntukan perundangan yang menyatakan pembiayaan politik adalah salah.

"Bagaimana sesebuah parti politik dapat mengesahkan sumber dana yang diperoleh? Bolehkah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau DAP mengesahkan derma yang diterima mereka tidak datang dari penderma yang terbabit dalam kegiatan haram atau ekonomi gelap (black economy)?

"Memandangkan PH sudah berkempen untuk PRU-14 dengan mendakwa saya terbabit dalam pelbagai salah laku, saya mengalukan siasatan terhadap saya, namun jangan jadikan parti politik sebagai mangsa," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo