NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

500 Karya Animasi, 100 Kartunis Di Muzium Terengganu Hingga 31 Okt



KUALA TERENGGANU – Lebih 500 karya animasi 100 kartunis terkenal negara kini boleh disaksikan di Kompleks Muzium Terengganu melalui Pameran Kartun Dan Kita yang membuka tirai hari pertamanya hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata pameran yang akan berlangsung selama empat bulan itu adalah hasil kerjasama Jabatan Muzium Malaysia, Persatuan Rumah Kartun dan Persatuan Animasi Malaysia.

“Saya percaya pameran ini mampu menarik perhatian pelbagai peringkat masyarakat, tidak hanya golongan kanak-kanak malah golongan dewasa juga pasti tertarik kerana apa yang dipamerkan adalah bahan bacaan hiburan yang terdiri daripada komik kartun lama, iaitu sekitar era 70 an sehingga kini.

“Antara segmen yang menarik dalam pameran ini adalah satu sudut penghargaan khas kepada kartunis tempatan yang berasal dari Dungun, Terengganu iaitu Fatah Ngah yang sangat terkenal dengan watak dalam karya komiknya iaitu A Mamud,” katanya ketika merasmikan pameran itu di sini hari ini.

Ariffin berkata pameran itu juga akan membuka lebih banyak ruang kepada generasi muda Terengganu untuk meneroka lebih banyak potensi dalam industri animasi yang menjanjikan masa depan cerah di peringkat antarabangsa.

Antara aktiviti diadakan sepanjang pameran itu berlangsung ialah bengkel animasi, bengkel melukis kartun dan komik, bual bicara bersama kartunis terkemuka, pertandingan mewarna, pertandingan silang kata dan tayangan filem-filem pendek kartun yang terpilih.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Che Mohd Azmi Ngah berkata pihaknya menyasarkan kedatangan lebih 100,000 pengunjung ke pameran itu.

“Terengganu adalah negeri pertama yang menganjurkan pameran ini selepas ia dipamerkan di Muzium Negara pada tahun lepas.

“Setiap karya kartun dan animasi ini mempunyai mesej yang tersendiri dan kebanyakannya bernilai positif, murni dan sangat mudah difahami… Inilah yang dikatakan impak positif yang dilihat remeh tetapi sangat mempengaruhi pola pemikiran dan gaya hidup sesebuah masyarakat,” katanya. – BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo