NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN penyelesaian Kemelut Menteri Besar Perlis?


Oleh : Shuhaimi AL-Maniri

KEMELUT pelantikan Menteri Besar yang sudah berlarutan hampir sebulan lamanya, sehingga menyebabkan Perlis menjadi satu-satunya negeri masih belum melantik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negerinya itu, kini dilihat semakin kusut dan sukar untuk diselesaikan.
Krisis pelantikan Menteri Besar Perlis bermula selepas Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan adiknya Datuk Ismail Kassim yang juga ADUN Tambun Tulang sebagai calon Menteri Besar yang baharu selepas PRU ke-14 baru-baru ini.

Bagaimanapun, Raja Perlis  berkenan melantik Datuk Seri Azlan Man, ADUN Bintong sebagai Menteri Besar sekali lagi selepas kunjungan Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri  Hishamuddin Hussin yang menjalankan tugas Presiden dan Timbalan Presiden.

Pada majlis istiadat perlantikannya pada 24hb Mei lepas, sembilan ADUN BN i bertindak memboikot majlis terbabit. Susulan itu, Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam sidang satu sidang media di ibu Negara pada hari yang sama telah 'memecat' Azlan dari UMNO kerana dilihat membelakangkan keputusan BN negeri dengan menerima perlantikan itu.

Difahamkan kemudiannya, lapan ADUN BN berkenaan dipanggil mengadap Raja Perlis bagi membincangkan jalan penyelesaian berhubung kemelut perlantikan Menteri Besar. Pada pertemuan kali ini kelapan-lapan ADUN berkenaan turut mempersembahkan permohonan maaf kepada Raja Perlis berhubung tindakan mereka memboikot majlis istiadat perlantikan Azlan pada 24 Mei lalu.

Mereka ialah ADUN Beseri, Rozaini Rais; Tee Chai Aan (Titi Tinggi), Siti Berenee Yahya (Mata Ayer); Azizan Sulaiman (Santan); Asmaiza Ahmad (Chuping); Roziena Ahmad (Pauh); Nurulhisham Yaakob (Simpang Empat) dan Hamizan Hassan (Kayang).

Bagaimanapun, ADUN Bintong yang juga Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim, yang dinamakan sebagai calon Menteri Besar yang baharu oleh BN, tidak kelihatan ketika lapan ADUN berkenaan memasuki pekarangan Istana Arau pada 3hb Jun lepas.

Setakat ini tidak diketahui apa keputusannya. Pengerusi Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berharap kemelut Menteri Besar negeri yang berlarutan dapat diselesaikan segera.

Md Isa berkata, kemelut berpanjangan dilihat tidak mendatangkan manfaat kepada parti, malah menambahkan kebencian rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO.

“Sudah-sudahlah... isu perlantikan Menteri Besar ini sudah terlalu panjang sehingga menimbulkan kegusaran pada rakyat negeri ini.

“Rakyat menilai atas apa yang berlaku, sepatutnya mereka (wakil rakyat) ketika ini sudah turun berjumpa rakyat yang memilih mereka bersempena bulan yang mulia ini.

“Janganlah kita biarkan mereka (rakyat) tertanya-tanya di mana wakil rakyat yang dipilih tidak turun padang bahkan Aidilfitri pun bakal menjelang,” katanya yang juga bekas Menteri Besar Perlis
 “Sempena bulan mulia ini, saya berharap mereka (sembilan ADUN) berlembut hati dan akur dengan keputusan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Perlukah PRN diadakan ?

Janganlah kita hampakan mandat yang sudah diberikan oleh rakyat. Sekiranya berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah pasti peluang BN untuk memenangi semula Perlis dilihat tipis selepas apa yang berlaku,” kata beliau yang juga bekas Menteri Besar Perlis. 

Beliau berpendapat isu perebutan jawatan itu tidak akan timbul sekiranya jawatan Pengerusi BN negeri diberikan kepada Menteri Besar negeri.

“Perlis adalah satu-satunya negeri di Malaysia ketika ini jawatan Menteri Besar dan Pengerusi BN negeri dipegang oleh dua individu yang berlainan.

“Ini tidak sepatutnya terjadi kerana ia seakan dua nakhoda yang memimpin dalam satu kapal. Malah kita (Mubarak Perlis) dari dahulu lagi sudah menyuarakan kepada pusat supaya jawatan Pengerusi BN negeri diserahkan kepada Menteri Besar,” katanya.

Katanya, BN pusat seharusnya tegas dalam menentukan individu yang layak memegang jawatan Pengerusi BN negeri dan tidak mengambil ringan isu berkenaan.

Seorang lagi bekas Menteri Besar Perlis, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh dilaporkan media berkata, beliau melihat kemelut yang melanda Perlis ketika ini sebenarnya boleh diselesaikan melalui kompromi antara pihak terlibat.

“Saya Nampak di Perlis sekarang ada dua prinsip sokongan kuat, iaitu Raja Perlis dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perlis. Sementara BN Perlis dengan perlembagaan, iaitu Raja berpelembagaan”, katanya.

Menurut beliau, sekiranya kemelut perlantikan Menteri Besar masih belum selesai akibat pertembungan dua prinsip itu, PRN merupakan jalan penyelesaian muktamad dan terbaik demi menangani keadaan itu.

Sementara itu, PAS Perlis berharap PRN tidak berlaku dalam usaha mencari penyelesaian kemelut Menteri Besar sekarang ini kerana hanya menyusahkan rakyat, selain memerlukan belanja yang besar.


Namun Adun PAS Sanglang itu berkata, jika PRN tidak dapat dielakkan juga, PAS bersedia kembali bertanding.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo