NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PH perlu buktikan mampu tadbir urus negara lebih baik





Oleh: Megat Ramli Megat Raof


SUDAH 20 hari Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) berlalu. Rakyat Malaysia telah membuat pilihan parti mana yang dipilih untuk mentadbir Malaysia dalam tempoh lima tahun lagi.


Keputusan PRU-14 kali ini telah mengubah 360 darjah landskap politik tanah air apabila Barisan Nasional (BN) yang sudah memerintah negara selama 60 tahun akhirnya tumbang akibat tsunami rakyat.

Pakatan Harapan (PH) dengan gabungan Parti Keadilan Rakyat, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Parti Amanah Negara dan DAP berjaya membentuk kerajaan Persekutuan dengan majoriti mudah 113 daripada 222 kerusi Parlimen. 

BN pula memenangi 79 kerusi Parlimen. PH juga berjaya menakluk Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor selain mengekalkan penguasaan di Pulau Pinang dan Selangor. Sabah pula ditawan Parti Warisan Negara. 

Inilah realiti dalam pertandingan yang perlu diterima BN dengan hati yang terbuka, daripada menjadi pihak pemerintah kepada pembangkang. 

Begitu juga dengan PH yang sebelum ini bertindak sebagai pembangkang tiba-tiba bertanggungjawab untuk mengemudi negara.

Kedua-dua pihak pada pe­ringkat awal mungkin sukar untuk melaksanakan tugas masing-masing dengan sebaik mungkin.

BN yang sebelum ini mentadbir negara kini perlu mencari mekanisme terbaik untuk menjadi pembangkang yang konstruktif dan efektif. 

PH pula perlu bekerja lebih keras terutamanya untuk melaksanakan janji-janji yang ditabur kepada rakyat.

Terdapat 10 janji utama yang perlu dikotakan dalam tempoh 100 hari pemerintahan dan sekarang tinggal 80 hari lagi.

Antaranya ialah pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan, penangguhan bayaran Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara bagi peminjam gaji kurang RM4,000 sebulan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk suri rumah.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama barisan Kabinet dilihat bertungkus-lumus untuk melaksanakan janji-janji itu dalam keadaan negara yang dikatakan banyak hutang.

Kuasa politik yang besar telah diberikan rakyat kepada PH pada PRU-14. Mereka yakin PH akan dapat mentadbir negara dengan lebih baik terutama mengurangkan kos sara hidup yang dianggap membebankan.

Dengan keyakinan tinggi itulah perubahan bersejarah telah dilakukan pada PRU kali ini dan PH perlu membuktikan mereka mampu memenuhi inspirasi rakyat.

Tempoh lima tahun PH memegang tampuk peme­rintahan negara sebenarnya adalah ujian berat untuk harus dilalui mereka. 

Bukan sahaja BN akan memantau setiap dasar yang dilaksanakan, malah rakyat bakal menjadi penentu kepada kelangsungan hidup kerajaan pimpinan PH selepas lima tahun nanti.

Setiap masa, orang ramai ingin tahu berita gembira daripada kerajaan baharu yang dipilih mereka.

Dalam era maklumat di hujung jari, cabaran kerajaan dalam mentadbir negara juga lebih besar. Segala maklumat sama ada benar atau palsu mudah disebarkan menerusi pelbagai medium seperti Facebook dan WhatsApp.

Budaya copy and paste sesuatu maklumat sudah menjadi tabiat. 

Justeru, cabaran besar ini perlu diterjemahkan kepada keupayaan kerajaan PH untuk meneruskan pemerintahan dalam apa jua keadaan.

Jika kerajaan baharu berjaya menyelesaikan sebahagian besar masalah rakyat, PH akan terus berkuasa pada PRU akan datang.

Bagaimanapun, sekiranya gagal, tidak mustahil BN akan mendapat mandat se­mula mentadbir negara dalam sistem demokrasi yang lebih matang. 

Apa yang pasti, jadi pembangkang tugasnya lebih mudah berbanding mentadbir Negara.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo