NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kisah minyak & gas Sarawak



MENURUT laporan akhbar, kerajaan ne­geri Sarawak se­dang membuat pe­nggubalan undang-undang negeri bagi menuntut hak perlembagaannya berkenaan dengan perlombongan minyak dan gas dan juga hak pembahagian gas di negeri tersebut. Sarawak juga dilaporkan akan mempertahankan hak minyak yang dikatakan adalah milik kerajaan negeri.

Di satu pihak yang lain, syarikat minyak negara, Petronas telah memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi satu deklarasi bahawa Akta Pembangunan Petroleum 1974 atau dikenali sebagai Petroleum Development Act 1974 (PDA) adalah undang-undang terpakai bagi industri minyak dan gas di Malaysia. Turut dinyatakan di dalam deklarasi tersebut bahawa Petronas mempunyai milikan penuh dan juga sebagai regulator bagi industri upstream di seluruh Malaysia termasuklah Sarawak.

Keadaan ini memerlukan kita sebagai masyarakat umum untuk memahami sejarah perundangan minyak dan gas di Malaysia. Masyarakat mungkin beranggapan bahawa sejarah industri petroleum di Malaysia hanya bermula apabila Petronas ditubuhkan pada 1974.

Bagaimanapun, persepsi itu sama sekali tidak benar. Industri petroleum sebenarnya telah bermula sejak zaman kolonial British. Pihak penjajah telah mengeksploitasi hidrokarbon dan sumber mineral lain sebelum kemerdekaan pada 1957. Eksplorasi petroleum di Malaysia bermula pada awal abad ke-20 di Sarawak. Minyak mula ditemukan pada 1909 dan pertama kali dihasilkan pada 1910. Syarikat minyak di Malaysia sebelum ini beroperasi di bawah sistem konsesi.

Pasca kemerdekaan, Malaysia masih lagi meneruskan sistem konsesi yang sama seperti sebelumnya. Malah, lebih banyak konsesi telah diberikan kepada Shell dan Esso untuk meneroka minyak dan gas di kawasan perairan. Di bawah sistem ini, pengendali minyak dan gas diberi hak mutlak di atas kawasan tertentu, termasuk rizab yang berpotensi yang terkandung dalam medan minyak. Pada ketika ini, ke­seluruhan kawasan perbelanjaan operasi ditanggung oleh pengendali. Pihak pengendali mempunyai hak mutlak ke atas kontrak, hak pemerolehan serta hak untuk membuat keputusan berkaitan teknologi.

Kerajaan negeri pula tidak mempunyai hak mutlak untuk membuat keputusan kecuali beberapa perkara berkaitan alam sekitar dan peraturan keselamatan. Sebagai pertukaran untuk hak-hak ini, pengendali diwajibkan membayar kerajaan royalti dan cukai.

Hubungan konsesi di antara syarikat minyak dan kerajaan negeri telah ditadbir oleh Akta Perlombongan Petroleum 1966 dan Akta Cukai Pendapatan Petroleum 1967. Syarikat-syarikat minyak yang beroperasi di bawah sistem konsesi telah diberikan kebebasan penuh dalam pengurusan sumber dan kawalan petroleum pemilikan aset dan minyak mentah serta penghasilan gas. Sebagai balasan syarikat minyak dan gas akan membayar royalti kepada kerajaan negeri yang berjumlah antara lapan hingga 11 peratus daripada produksi yang telah dijual serta cukai pendapatan syarikat pada kadar 50 peratus kepada Kerajaan Persekutuan.

Adalah penting untuk difahami bahawa selepas kejadian embargo minyak pada 1973, negara-negara pengeluar minyak seluruh dunia menyedari betapa pen­tingnya untuk memantau sumber petroleum mereka sendiri. Di Malaysia, Akta Pembangunan Petroleum atau dikenali sebagai PDA telah diperkenalkan pada 1974 serta sebuah syarikat minyak negara ditubuhkan untuk memastikan sumber petroleum negara dapat dibangunkan selaras de­ngan kehendak serta kepentingan nasional. Syarikat ini dikenali sebagai Perbadanan Petroliam Nasional atau Petronas.

Pada awal 1970-an, beberapa negara telah mengubah pendekatan sistem konsesi kepada Kontrak Perkongsian Pengeluaran atau dikenali sebagai Production Sharing Contract (PSC) termasuklah negara jiran iaitu Indonesia. PDA yang menerima Perakuan Diraja (Royal Assent) pada 30 Julai 1974 dan telah membolehkan penubuhan Petronas. Sebelum ini, kerajaan negeri telah memberikan konsesi petroleum kepada syarikat minyak. Mereka diberikan hak eksklusif untuk mene­roka dan mengeksploitasi sumber minyak dan gas. Sebagai balasan, syarikat-syarikat minyak ini kemudiannya akan membayar ro­yalti dan cukai kepada kerajaan.

Hal ini berakhir pada 1 April 1975 apabila PDA memberikan pemilikan sumber minyak mentah dan sumber gas asli di Malaysia serta di luar pesisir negara ini kepada Petronas bersama-sama de­ngan hak eksklusif untuk meneroka dan mengeksploitasi petroleum.

Akibatnya, perjanjian konsesi antara syarikat minyak dan minyak asing di Malaysia telah diubah menjadi PSC yang sebahagian besarnya berdasarkan model perkongsian pengeluaran Indonesia. Di bawah perjanjian ini, Petronas telah diberikan kebebasan sepenuhnya untuk menetapkan dasar, bentuk, terma dan syarat perjanjian baharu, termasuk yang dimaksudkan untuk menggantikan yang dibatalkan untuk mencerminkan keadaan yang berubah dalam industri minyak dan gas.

PDA juga menghendaki semua permohonan untuk memulakan atau meneruskan apa-apa perniagaan atau perkhidmatan petroleum hendaklah dialamatkan kepada Petronas. Walaupun Petronas tertakluk kepada kawalan dan arahan Perdana Menteri de­ngan nasihat Majlis Penasihat Petroleum Negara, namun terdapat kritikan bahawa sepatutnya dimasukkan satu peruntukan yang jelas di dalam PDA untuk menentukan sejauh mana Petronas mempunyai keistimewaan dalam menjalankan operasi berkaitan sumber minyak dan gas. Petronas sebagai pengawal-selia pemberian PSC kepada beberapa syarikat minyak dan gas antarabangsa, termasuk anak syarikat eksplorasi dan produksi milik penuh Petronas iaitu Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB).

Dalam hal ini, syarikat minyak dan gas yang berniat untuk me­laksanakan eksploitasi hidrokarbon di Malaysia mesti melaksanakan PSC atau aktiviti-aktiviti lain eksplorasi dan perlombongan minyak dengan Petronas. Di bawah PSC, semua risiko dan pembiayaan akan ditanggung dan disediakan oleh kontraktor PSC sebagai pertukaran untuk bahagian pengeluaran yang dipersetujui, termasuk kos pemulihan melalui perbelanjaan kos minyak atau gas.

Kontraktor PSC dikehendaki mematuhi tahap minimum komitmen untuk operasi terutama berkaitan dengan kerja dan kewangan. Di samping itu, kontraktor PSC juga dikehendaki mencari pelbagai kelulusan daripada Petronas dalam semua fasa operasi. Kegagalan mematuhi keperluan ini boleh mengakibatkan pelepasan automatik hak untuk menjalankan eksplorasi dan perlombongan petroleum dengan Petronas.

Terdapat pelbagai terma PSC bertujuan untuk mempromosikan pelaburan. Namun, terma-terma tersebut bergantung kepada kerumitan eksplorasi dan produksi sumber-sumber petroleum.

Berdasarkan perbincangan di atas, adalah cukup jelas bahawa berdasarkan PDA, Petronas, sebagai syarikat minyak nasional mempunyai kawalan dan pemilikan eksklusif bagi minyak dan gas di Malaysia. Petronas bukan sahaja bertindak sebagai pengawal selia untuk industri petroleum, tetapi juga bertanggungjawab dalam segala pengurusan yang melibatkan urusan teknikal dan komersial untuk memastikan kejayaan aktiviti eksplorasi dan exploitasi hidrokarbon di seluruh Malaysia, termasuklah Sarawak.

Oleh itu, adalah kurang tepat untuk mengatakan bahawa kerajaan Sarawak mempunyai hak untuk membuat penggubalan undang-undang dalam menuntut semula kuasa perlembagaannya bagi mengawal selia aktiviti perlombongan petroleum di negeri tersebut.


DR. WAN MOHD. ZULHAFIZ WAN ZAHARI adalah Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo