NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kelantan: Agong rasmi Program Inkubasi Usahawan Pertanian


KOTA BHARU: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V hari ini berkenan merasmikan Program Inkubasi Usahawan Pertanian yang diusahakan oleh Ladang Sawitria (Kel) Sdn Bhd hari ini.

Seri Paduka tiba pada kira-kira 12.20 tengah hari dengan diiringi Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan Pengerusi Eksekutif Ladang Sawitria (Kel) Sdn Bhd, Tan Sri Musa Hassan.

Musa, dalam sidang akhbar kemudiannya berkata pihaknya menyasarkan untuk melahirkan 1,000 usahawan tani dalam masa setahun menerusi program berkenaan dengan pesertanya merangkumi golongan muda yang tiada pekerjaan dan golongan miskin.

"Setakat ini, kami menerima permohonan daripada seramai 1,212 orang namun untuk fasa pertama, kami latih dahulu 67 peserta membabitkan 45 peserta dari Kelantan manakala bakinya daripada negeri-negeri lain.

"Setiap peserta akan mengusahakan tanah seluas 0.4 hektar untuk belajar teknik pertanian moden secara berkelompok untuk menanam pelbagai jenis sayur-sayuran seperti cili, terung dan lain-lain menggunakan teknologi daripada Taiwan dengan anggaran pendapatan minimum sehingga RM5,000 sebulan," katanya selepas perasmian program berkenaan di sini, hari ini.

Musa berkata, pihaknya mendapat pajakan tanah seluas 925 hektar di Mukim Mambong, Kuala Krai daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi program tersebut.

Beliau berkata, peserta turut disediakan kemudahan pinjaman sebanyak RM180,000 daripada bank dengan tempoh bayaran balik 30 tahun untuk memajak tanah dan membina kediaman sendiri di kawasan tersebut.

"Peserta juga diberi kemudahan untuk memasarkan hasil pertanian dan kemudahan pengangkutan turut disediakan kepada mereka.

"Kita juga akan cuba membuka penyertaan program ini kepada banduan yang diberikan parol bagi membantu mereka membina kehidupan lebih baik," katanya.

Sementara itu, Ahmad dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri sentiasa membuka ruang kepada pihak swasta dalam menjayakan program yang bermanfaat yang sudah pasti akan membantu Kelantan untuk berdikari bagi mewujudkan bekalan makanan dan menghasilkan produk hiliran.

"Ia akan menjadi sebahagian usaha dalam melaksanakan konsep Jaminan Makanan dalam Malaysia dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber makanan yang diimport.

"Program ini juga diharap dapat membantu Kelantan menjadi hab pertanian dan dalam masa yang sama, ia dapat menggalakkan usahawan pertanian untuk mempelajari teknologi baharu dan moden dalam sektor ini," katanya. - BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo