NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pulau Pinang: Agihan EXCO tidak seimbang, hanya untungkan DAP?


Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@nstp.com.my

BUTTERWORTH: DAP Pulau Pinang disaran tidak tamak dalam pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pulau Pinang seperti yang dilihat pada majlis angkat sumpah jawatan Timbalan Ketua Menteri (TKM) 1 dan ahli EXCO lain semalam.

Selesai sahaja majlis semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Ariffin, berkata barisan EXCO baharu itu tiada perbezaan dengan yang sebelum ini.

Beliau berkata, barisan EXCO kali ini dilihat tidak seimbang dan sebelum ini Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) juga ada meminta supaya dua ADUN mereka disenarai dalam barisan EXCO.

"Saya harap Majlis Presiden boleh berbincang sama ada barisan EXCO Ketua Menteri dalam pentadbiran setiap negeri yang diperintah Pakatan Harapan (PH) boleh dipastikan lebih adil dan saksama.

"Berbanding Selangor, Johor dan Negeri Sembilan, hanya barisan EXCO Pulau Pinang dan portfolio yang dipegang tidak seimbang.

"Ia seolah-olah terlalu memberi kuasa kepada satu parti walaupun 14 kerusi dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR), dua oleh Parti Amanah Negara (AMANAH) dan dua oleh PPBM, hampir sama dengan DAP yang memenangi 19 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) baru-baru ini," katanya.

Menurutnya, berdasarkan pecahan, kerusi Ketua Menteri, TKM2 dan enam kerusi EXCO diisi ADUN DAP, manakala AMANAH dan PPBM yang masing-masing menang dua kerusi pada PRU-14 langsung tidak dilantik membarisi EXCO.

Katanya, PKR bagaimanapun hanya memperoleh tiga kerusi termasuk dua kerusi EXCO dan satu kerusi TKM1 walaupun menang 14 kerusi di Pulau Pinang pada PRU-14.

Norlela berkata, portfolio utama seperti Tebatan Banjir, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Jalan, Utiliti, Sukan dan lain-lain masih sama seperti PRU-13 dan tidak dikongsi secara saksama.

"Wakil rakyat PKR, AMANAH dan PPBM pun ada pengalaman dalam penggubalan dasar dan pelaksanaan pada peringkat Persekutuan serta negeri, malah terdiri daripada kalangan profesional.

"Contohnya TKM1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, yang juga ADUN Pinang Tunggal, dihormati oleh pegawai kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan perunding bagi projek berimpak tinggi tebatan banjir, namun tidak memegang portfolio infrastruktur yang lebih utama," katanya.

Tambah beliau, pada PRU-13, pengundi yang memberi kemenangan kepada kerajaan negeri majoritinya adalah pengundi Cina dan tinggal di kawasan bandar, namun pada PRU-14 ia berubah dan barisan EXCO perlu lebih seimbang dan berkongsi kuasa bagi portfolio penting.

"Penduduk kampung dan pengundi Melayu berharap kepada wakil PKR, AMANAH serta PPBM apabila mereka memilih kami pada PRU-14 dan kami mahu menunaikan harapan mereka," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo