NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kedah Mungkin Adakan Pilihan Raya Negeri Sekali Lagi?



Mukhriz memberitahu, pihaknya menolak tawaran tidak rasmi yang diterima daripada PAS untuk menubuhkan kerajaan perpaduan di negeri ini. 


ALOR SETAR 22 Mei – Kedah berkemungkinan besar terpaksa mengadakan sekali lagi Pilihan Raya Negeri jika kerajaan dan pembangkang daripada PAS serta Barisan Nasional (BN) gagal mencapai persetujuan dalam soal pemilihan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).


Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sehubungan itu dia berharap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Kedah merestui calon Speaker DUN yang dipilih Pakatan Harapan (PH).

"Yang menjadi isu kritikal adalah pemilihan Speaker DUN kerana dalam keadaan berbelah-bahagi, satu undi daripada Speaker dikira.

"PH akan mendapat 19 undi yang membenarkan kita meluluskan (rang undang-undang dalam DUN) dengan majoriti mudah tapi untuk melepasi peringkat awal, pemilihan Speaker DUN itu yang saya fikir kena bincang dengan pembangkang bagi mendapatkan kerjasama mereka.

"Kata ada 18 di pihak kami mencadangkan calon Speaker kemudian ditolak pembangkang, kemudian di sana (pembangkang) cadang juga tapi kami tolak maka ada kemungkinan dalam keadaan terpaksa perlu dibuat pilihan raya negeri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PH Kedah menang 18 kerusi DUN, Pas mendapat 15 kerusi dan tiga kerusi dimenangi BN.

Mukhriz berkata, sudah pasti PH, pembangkang mahupun rakyat tidak akan berasa gembira untuk mengadakan satu lagi pilihan raya negeri.

"Pilihan raya negeri hanya membuang masa dan duit, jadi saya mohon pertimbangan pembangkang untuk merestui calon Speaker DUN PH. Jadi kerja-kerja pentadbiran ini boleh berjalan lancar," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mukhriz memberitahu, pihaknya menolak tawaran tidak rasmi yang diterima daripada PAS untuk menubuhkan kerajaan perpaduan di negeri ini. – UTUSAN ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo