NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tersungkurnya Tun Dr Mahathir Di Kaki DAP?



Kunjungan buat pertama kalinya Tun Dr Mahathir Mohamad ke Ibu Pejabat DAP Kebangsaan di Kuala Lumpur bagi mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan malam tadi adalah cukup signifikan sekali. 

Kunjungan Tun Dr Mahathir ke Ibu Pejabat DAP Kebangsaan ini menjadi lambang kepada tersungkur dengan secara rasminya beliau kepada perjuangan Malaysian Malaysia DAP yang sebelum ini beliau sendiri mati-matian menentang.

Bagi generasi baru Malaysia, konsep Malaysian Malaysia DAP adalah berakar umbi dari deklarasi bersama parti-parti pembangkang yang bergabung di dalam the Malaysian Solidarity Convention (MSC) di Singapura pada 9 Mei 1965.

Tercatat kemas dalam Deklarasi MSC ini kenyataan yang berbunyi bahawa “a Malaysian Malaysia means that the nation and the state is not identified with the supremacy, well-being and the interests of any one particular community or race.”

Tercatat kemas juga dalam Deklarasi Setapak pada 29 Julai 1967 komitmen DAP kepada “the ideal of a free, democratic and socialist Malaysia, based on the principles of racial equality, and social and economic justice...”

Begitupun, jangan diingat konsep Malaysian Malaysia DAP ini hanya diperjuangkan oleh pemimpin veteran DAP sahaja kerana pemimpin muda yang sedang berkuasa di dalam DAP sekarang juga berpegang teguh dengan konsep ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, sendiri bercakap mengenai Perlembagaan Persekutuan “discriminat(ing) Malaysians into bumis and non-bumis, which effectively divided Malaysians into first and second-class citizens”.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook, juga turut bercakap mengenai keperluan untuk “review the "Bumiputra" and "non-Bumiputra" policy and abolish the distinction between races in Malaysia”.

Bahawa konsep Malaysian Malaysia DAP ini kekal terpateri dalam DAP sehingga kini terbukti bila laman web rasmi DAP sendiri menegaskan bahawa “the DAP is committed to the struggle for a free, democratic socialist Malaysian Malaysia.”

Malah ramai yang tidak tahu konsep Malaysian Malaysia DAP ini sentiasa diindoktrinasikan ke dalam jiwa ahli DAP melalui lirik lagu rasmi DAP yang antara lainnya berbunyi “Bersama kita menuju satu matlamat: Malaysia untuk rakyat Malaysia”.

Sehubungan dengan ini, baru tahun lalu (2016), sebuah buku bertajuk “Tun M: Inilah Perjuangan” diterbitkan oleh PTS di mana buku ini memuatkan penentangan keras Tun Dr Mahathir terhadap perjuangan Malaysian Malaysia melalui temu bual eksklusif beliau dengan Sabaruddin Hussein.

Antara lainnya, Tun Dr Mahathir menyebut dalam buku ini: 

“Orang bukan Melayu asyik menuntut hak persamaan, meminta supaya dimansuhkan hak istimewa orang Melayu. Sedangkan mereka tinggal di negara ini, mendapat kewarganegaraan, juga merupakan satu keistimewaan. Mereka boleh mengamalkan cara hidup mereka sendiri, bahasa sendiri, itu pun satu keistimewaan.”

“Mereka tidak boleh punyai sistem pendidikan sendiri, kita hapuskan sekolah jenis kebangsaan, mereka tidak boleh mengamalkan budaya mereka, malah nama pun perlu ditukar kepada nama Malaysia, sepertimana yang dilakukan di Indonesia dan Thailand, pada masa itu barulah kita boleh mansuhkan hak istimewa orang Melayu.”

Bila Tun Dr Mahathir sudah berkunjung ke Ibu Pejabat DAP Kebangsaan, parti yang memperjuangkan hak persamaan kaum di bawah konsep Malaysian Malaysia, maka tidaklah boleh ditakwil lagi tersungkurnya beliau di kaki DAP ini.

Dr Kamarul Zaman Yusoff

© all rights reserved
made with by templateszoo