NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tempoh Pengosongan Wisma Tok Guru Tidak Akan Dilanjutkan


KOTA BHARU, 25 Okt -- PAS tidak akan melanjutkan tempoh kepada Parti Amanah Negara (Amanah) bagi mengosongkan Wisma Tok Guru di Salor di sini, kata Ketua Penerangan PAS Kelantan Datuk Mohd Nasuruddin Daud.

Mohd Nasuruddin dalam nada sinis berkata PAS tidak akan bertindak mengusir parti itu daripada bangunan berkenaan kerana percaya mereka adalah 'amanah'.

"Memang mereka (Amanah) kena keluar (dari Wisma Tok Guru). Kita tak akan usir dan tak akan panjangkan tempoh pengosongan selama sebulan (sehingga 16 Nov depan)."

"Kita juga sedia berdepan dengan mereka di mahkamah tapi saya rasa mereka akan keluar," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Beliau berkata PAS akan menggunakan wisma berkenaan sebagai pusat kegiatan mereka selepas Amanah mengosongkan bangunan berkenaan.

Isu mengenai pemilikan Wisma Tok Guru itu sebelum ini ditimbulkan Mohd Nasuruddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri dengan mendakwa tapak tanah dan bangunan berkenaan adalah milik kerajaan negeri.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor yang juga Naib Presiden Amanah Datuk Husam Musa yang mendakwa beliau sebelum itu diberi kebenaran oleh bekas ADUN Salor, Allahyarham Datuk Rosli Ibrahim untuk menggunakan tapak itu melalui satu notis.

Namun kemelut perebutan itu kembali rancak sejak pertengahan bulan ini selepas Amanah Kelantan dikatakan menerima notis daripada seorang anggota PAS yang dikatakan pemilik baharu bangunan berkenaan.

Difahamkan, tanah milik balu kepada Rosli itu telah dijual kepada PAS menerusi anggota berkenaan dengan harga RM700,000.-- BERNAMA
© all rights reserved
made with by templateszoo