NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Saya Maafkan Kamu, Tetapi Kamu Jawab Di Yaumal Qiyamah – Yusuf Azmi




“Kita mesti teruskan perjuangan. Saya ingin maklumkan kepada semua pengguna di Malaysia yang di luar sana, terima kasih banyak-banyak kerana solat hajat dan sebagainya, yang mendoakan kebaikan untuk kita, negara, rakyat dan sebagainya. Saya tidak akan berundur walaupun apa masalahnya.” 

Ketua Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi semasa memberikan kenyataan selepas dibebaskan sebentar tadi. 

Beliau yang pada awalnya mengatakan bakal didakwa di bawah Seksyen 427/447 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibebaskan dengan ikat jamin RM 5,000.00 setiap orang bersama seorang lagi aktivis PPIM, Abang Ali. 

Penahanan mereka berikutan tuduhan menceroboh ke premis yang terpalit dengan kontroversi melibatkan isu kereta pengguna yang dijadikan kereta sewa. 

Dalam video penjelasan yang dimuatnaik oleh Yusuf Azmi semalam, beliau menjelaskan bahawa kejadian pada 10 Julai lalu, beliau bersama aktivis pengguna dan pemilik kenderaan menyerbu syarikat AGR untuk mengambil semula kereta yang diserahkan para pemilik kereta kepada syarikat tersebut untuk dijadikan kereta sewa. 

Pemilik kenderaan mendakwa mereka hanya mendapat bayaran pada bulan pertama sahaja, dan mengambil keputusan untuk melaporkan kepada PPIM berhubung penipuan itu. Kedua-dua pihak kemudian mencapai persetujuan dengan AGR menyerahkan lima kenderaan dan 53 kunci kereta kepada PPIM selepas aktivis pengguna dan pemilik berkumpul sekali lagi di hadapan pejabat syarikat itu di Kajang. 

Berkenaan tuduhan bahawa beliau bersama aktivis PPIM lain menceroboh premis tersebut, Yusuf Azmi menjelaskan semua pihak perlu faham bahawa pemilik sebenar tanah di premis tersebut tidak pernah membuat laporan polis terhadapnya atas tuduhan menceroboh. 

“…. yang boleh membuat laporan terhadap saya ialah pemilik tanah… pemilik tanah bukanlah syarikat AGR dan syarikat AGR juga tidak kena mengena dengan pemilik tanah. Dan pemilik tanah.. sepuluh pemilik tanah dalam isu AGR ini, ada 10 penama pemilik tanah dan sepuluh-sepuluh penama ini membuat laporan polis ke atas AGR. Bukan ke atas saya.” 


“Sekarang ini pemilik tanah sewakan kepada satu syarikat iaitu syarikat Wong, dan syarikat Wong ini tidak ada, tidak membuat laporan terhadap saya. Dia memberi sewa kepada AGR. Kalau ikut, perjanjian itu void, invalid. Saya tanya kepada polis macam mana nak tuduh saya? Dia kata, sebab AGR buat laporan menyatakan saya menceroboh.” 

Yusuf Azmi dalam kenyataan yang divideokan selepas bebas sebentar tadi menjelaskan bahawa dia memaafkan perlakuan pihak tertentu yang telah menyebabkan beliau dan Abang Ali menghadapi situasi tersebut. Beliau juga menyatakan bahawa pihak tertentu yang beliau maksudkan bukanlah dari pihak Polis Di Raja Malaysia. 

“Saya redha dengan apa yang berlaku, cuma, saya nak memberitahu, memberi maklum kepada orang yang melakukan sebegini kepada saya dan Abang Ali. Ini perkara yang kamu kena ingat dan kamu kena faham dan dengar dengan jelas apa yang ingin saya sampaikan… dengan saya hari ini kamu boleh lakukan sebegini di muka bumi Allah. Kamu harus tahu yang mentadbir muka bumi ini ialah Allah SWT dan saya ingin beritahu, saya maafkan kamu. Cuma saya nak beritahu, kamu akan dipertanggungjawabkan di Yaumal Qiyamah.” 

Sumber: https://www.menara.my/saya-maafkan-kamu-tetapi-kamu-jawab-di-yaumal-qiyamah-yusuf-azmi/










Sumber:

https://www.menara.my/saya-maafkan-kamu-tetapi-kamu-jawab-di-yaumal-qiyamah-yusuf-azmi/
© all rights reserved
made with by templateszoo