NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Impian revolusi SPRM bagus tapi BN perlu dibuang dahulu



PAS mengalu-alukan kenyataan ‘revolusi’ Timbalan Pengarah (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Hasbillah Mohd Salleh untuk menjadikan gejala rasuah sebagai musuh nombor satu negara.

Katanya, kebanyakan masyarakat masih keliru dengan tafsiran menerima hadiah daripada individu atau golongan tertentu yang mempunyai kepentingan tersendiri.

Sebenarnya sumber kekeliruan rakyat terhadap rasuah adalah hasil daripada campurtangan kerajaan BN di dalam SPRM selama ini.

Contoh yang paling menonjol ialah di tengah ribut kemelut derma RM2.6 bilion dan RM42 juta SRC International, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 17 November 2015 berkata syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat milik kerajaan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) boleh melakukan sumbangan kepada ahli politik atau parti politik sebagai pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat. Dan perkara ini boleh dibuat tanpa sebarang akta yang mengawalnya.

Persoalannya, di mana garisnya antara suapan dan derma?

Apakah menerima hadiah, asalkan ia dinamakan dalam bentuk derma, daripada individu dan golongan tertentu yang mempunyai kepentingan tersendiri, dibolehkan?

Oleh itu, PAS mendesak SPRM untuk turut bersama menekan pihak kerajaan agar mempercepatkan penggubalan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik.

Semestinya akta ini akan dapat membantu SPRM untuk mencapai revolusinya.

Tapi selagi BN berkuasa, segala susah bagi SPRM untuk bergerak bebas seperti yang sewajarnya.

Cadangan bagus, PAS akan menyokong usaha SPRM. Tapi BN sebagai batu penghalang besar perlu dibuang dahulu.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
13 Oktober 2017

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo