NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bajet 2018: Rakyat terus diperbodohkan



BANGI – Sekali lagi tahun ini, rakyat diperbodohkan dengan Bajet 2018 yang hanya untuk memancing undi, kata Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh.

Meluahkan rasa kecewanya, beliau berkata, bajet 2018 yang dibentangkan Datuk Seri Najib Razak petang tadi adalah ‘gula-gula pilihan raya’ yang menjadi tradisi kerajaan, memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan diadakan tidak lama lagi.

Sepatutnya, bajet tahun depan lebih mengutamakan rakyat, dari aspek cara meningkatkan sumber pendapatan rakyat.

“Misalnya dengan meningkatkan prasarana penambahan peluang pekerjaan dan memberi peluang pekerjaan kepada penganggur.

“Tambahan pula, dengan kegawatan ekonomi sekarang, ia menyebabkan rakyat susah nak cari kerja sehingga terpaksa menanggung kos kehidupan seharian.

“Bahkan, dari sudut keselesaan rakyat sendiri pun memang amat rendah kerana masih ada lagi GST, kos hidup yang tinggi, belanjawan rumah, pinjaman, PTPTN, bayaran kesihatan dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi Ismaweb, hari ini.

Antara sogokan saban tahun untuk rakyat katanya, adalah Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dilaksanakan sejak Bajet 2013.

“Memberi duit secara tunai kepada rakyat adalah satu tindakan yang hanya memperbodohkan rakyat. Kalau beri kepada warga emas, saya boleh terima tetapi saya tidak setuju jika diberikan kepada belia atau orang muda.

“Inflasi ini perlu dikikis dengan mengikut cara negara luar bagaimana mereka mentadbir kerajaan tanpa sogokan duit. Rakyat perlu bijak menilai perkara yang biasa atau luar biasa yang dilakukan oleh kerajaan agar tidak terpengaruh,” katanya.

Bajet 2018 juga adalah yang terakhir sebelum tempoh Kerajaan Persekutuan pimpinan Najib sekarang ini akan berakhir Jun tahun depan, bagi membolehkan PRU14 diadakan.--ismaweb
© all rights reserved
made with by templateszoo