NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

14 Tertimbus Dalam Tanah Runtuh Di Tanjung Bungah



GEORGE TOWN -- Empat belas orang tertimbus, tiga daripadanya ditemui mati dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini hari ini.

Sehingga lewat petang ini, usaha mencari dan menyelamat 11 pekerja binaan yang tertimbus itu masih giat dijalankan dengan kawasan pencarian dibahagi kepada tiga sektor untuk memudahkan anjing pengesan mencari mangsa yang tertimbus.

Sementara itu, seorang mangsa dilaporkan cedera ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Kesemua mangsa terlibat dalam kejadian itu yang dikatakan berlaku dalam masa satu minit terdiri daripada seorang rakyat Malaysia; seorang Pakistan; seorang Rohingya; dua Indonesia dan sembilan Bangladesh.

Dua mayat berjaya dikeluarkan setakat ini adalah rakyat Bangladesh dikenali sebagai Yunus dan Hossain manakala seorang lagi dari ethnik Rohingya dikenali sebagai Mamun. Ketiga-tiga mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Saadon Moktar berkata kejadian tanah runtuh itu dilapor pada 8.57 pagi ketika 14 pekerja binaan itu sedang membuat kerja-kerja di bahagian bawah.

Tanah lereng bukit berhampiran tapak pembinaan itu runtuh menimpa struktur bangunan yang sedang dibina itu sekali gus menyebabkan 14 pekerja berkenaan tertimbus, katanya.

Ketika kejadian, keadaan cuaca adalah baik dan sejak tiga hari lepas tiada hujan dilaporkan di kawasan tersebut.

Beliau berkata sehingga kini pasukan penyelamat telah mengalihkan tanah yang runtuh di kawasan telah dikenal pasti itu.

"Di bahagian dalamnya kita kena berhati-hati tak boleh buat secara kasar atau laju," katanya.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Chuah Ghee Lye berkata fokus awal ketika ini ialah untuk kerja mencari dan menyelamat oleh agensi berkaitan memandangkan mangsa terlibat dipercayai tertimbus sehingga kedalaman 10 meter.

Pasukan mencari dan menyelamat melibatkan 130 orang terdiri daripada polis, pasukan bomba dan penyelamat; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia; Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dari Putrajaya, Unit Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia: Hospital Pulau Pinang; Majlis Bandaraya Pulau Pinang; dan Rela dengan dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO)

Chuah berkata setelah mengenal pasti identiti mangsa, pihaknya akan memaklumkan kepada kedutaan yang terlibat untuk dimaklumkan kepada keluarga mangsa.

Sementara itu, anggota keluarga mangsa dilihat menunggu di sekitar lokasi kejadian dan seorang daripadanya Mohd Awal Jafra Alma berkata adiknya, Mohd Abdul Rahman, 18, yang baru bekerja di tapak pembinaan itu, dipercayai masih tertimbus.

"Kawan beritahu dalam pukul 8 lebih...saya tak pasti keadaan adik saya...saya akan tunggu di sini nak tengok sendiri keadaan adik," katanya sambil memberitahu kejadian itu belum dimaklumkan kepada ibu bapanya yang dirawat di hospital di Bangladesh.

Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 8 malam ini, dan akan disambung 8 pagi esok.

Turut meninjau tempat kejadian ialah Ketua Menteri Lim Guan Eng, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Farizan Darus dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang Datuk Maimunah Mohd Sharif.-- BERNAMA
© all rights reserved
made with by templateszoo