NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Saman Sarawak Report (Siri 2): Tamparan Buat Zaid Ibrahim Dan PAN?



DARI SUDUT LAIN

Akhir tahun lepas, peguam dan juga ahli DAP, Zaid Ibrahim menyebut di dalam blognya bahawa tindakan PAS menyaman Sarawak Report adalah satu langkah yang silap. Antara alasannya adalah kerana beliau belum pernah melihat ada parti politik yang berjaya dalam kes saman di England. Beliau juga berpendapat bahawa PAS tidak memiliki legal basis untuk memfailkan saman tersebut.


Namun mengikut sejarah, beberapa tokoh politik pernah memfailkan saman di negara yang dikira berprestij dari sudut ketelusan kehakiman itu. Dan kebanyakannya menang. Saman ini adalah kali kedua difailkan oleh Dato Seri Abdul Hadi, selepas yang pertama tahun 2008 dulu terhadap Daily Mirror. Selain daripada itu, tokoh seperti Rachid Ghannouchi dan Dr Yusof Al-Qaradawi juga pernah menang saman fitnah di negara terbabit.



Dengan perkembangan terbaru di London berkenaan saman tersebut, pandangan Zaid Ibrahim tersasar begitu jauh sekali. Mahkamah bukan sahaja menerima saman tersebut, bahkan Dato Seri Abdul Hadi telah menang pada pusingan pertama di peringkat pengurusan kes (case management). Mahkamah telah memutuskan supaya editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown membayar dua pertiga daripada kos pengurusan kes Abdul Hadi kepada mahkamah, dengan sejumlah 15,000 pound dilangsaikan segera sebagai pendahuluan.


Seorang lagi peguam yang agak terkenal dalam dunia politik, YB Hanipa Maidin, juga memberikan komentar negatif sejak isu saman Sarawak Report diangkat. Antaranya beliau menyindir PAS dengan berkata bahawa saman Sarawak Report tidak semudah saman Daily Mirror dahulu. Beliau turut menyindir bekas Ketua Pemuda PAS supaya fokus kepada saman tersebut. Beliau turut membawa isu ini ke parlimen, apabila bertanya apakah terdapat siasatan SPRM terhadap kes tersebut. Selain itu, beliau turut mengulas tentang kemenangan pusingan pertama PAS dalam bentuk sindiran.





Selain daripada peguam PAN, Naib Presiden PAN Dr Mujahid Yusof, juga memberi komentar berhubung isu ini. Beliau menawarkan bantuan guaman kepada PAS kerana menganggap dakwaan Sarawak Report sangat serius. Manakala Timbalan Presidennya, Salahudin Ayub, menggesa PAS mempercepat saman ini. Ironinya, PAN antara parti yang giat memanjangkan dakwaan-dakwaan Sarawak Report tersebut. Naib Presiden terbaru PAN, YB Dato Husam Musa, berkata PAS menerima duit tersebut melalui akaun Affin Bank.




Kini hanya YB Hanipa Maidin yang terus bersuara isu saman ini, dengan nada yang memihak kepada Sarawak Report. Portal itu sendiri tiada menulis sebarang perkembangan di blognya.

Perbicaraan penuh sepatutnya bermula bulan September 2017 di London. Namun mengikut maklumat yang diterima, pihak Sarawak Report telah menyingkirkan peguamnya dan memohon penangguhan memfailkan dokumen pembelaan pada 30 Ogos 2017. Namun seperti yang dilaporkan oleh The Third Force, sehingga 4.00 petang 30 Ogos 2017 waktu tempatan United Kingdom, Sarawak Report masih belum memfailkan dokumen tersebut.

Sumber: http://www.malaysia-today.net/saman-sarawak-report-siri-2-tamparan-buat-zaid-ibrahim-dan-pan/

© all rights reserved
made with by templateszoo