NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Memburu Malu di Pentas Dunia



Oleh: Dr. Nabilah Ali

Mungkin Tuhan hendak memberitahu sesuatu pada kami minggu ini, tatkala riuh rendah seantero tanahair berbicara mengenai anak tidak sah taraf.

Tatkala melangkah masuk kerja pagi itu, setiap baris katil pesakit ada sekurang-kurangnya seorang insan SP atau UM, atau ringkasan untuk 'Single Parent' atau 'Unmarried Mother'.

Pusing kanan ternampak seorang ibu mengandung anak yang ke7. Serpih sedikit giginya bila tersenyum, lesu wajahnya seolah-olah tawar hati dengan dunia. Tampak 40an, jauh lebih tua dari usia sebenar iaitu awal 30an.

Saya menyapanya ramah, bertanya latarbelakang. Tangan kirinya menggosok perlahan pergelangan tangan kanan, sedikit lenguh barangkali kerana kurang geraknya. Ada gari di tangan itu. Tidak jauh ada pegawai penjara mengawasi.

Dua cahayamata yang besar dijaga bekas suami. Yang selainnya dijaga sepupu, semua anak tidak sah taraf. Ayah sendiri telah tiada. Ibu sekadar 40km jauhnya tetapi tidak tahu cerita anak perempuan sulung dari 4 adik beradik ini. Baru beberapa minggu dipenjara. Cukup tiga bulan, akan bebas keluar. Kesalahan?

"Sex worker, doktor," ujarnya ringkas.

Pelajaran? Terpandang perkataan 'Tidak bersekolah' pada kad rawatannya.

"Ibu tidak beri belajar dulu..."

Tampak sedikit kesal di raut wajahnya. Tetapi adik-adik dibawahnya semua bersekolah, termasuk adik perempuan yang bongsu.

Ditarik selimut sedikit agar menutup betis kaki yang terdedah. Masih ada sekelumit malu mungkin.

Sekilas senyum sebelum melangkah pergi. Esok kita berbicara lagi.

                         ~      ~       ~

Kalih kiri. Perempuan bertudung, wajah ceria bila disapa. Tampak biasa tetapi ceritanya bukan biasa-biasa. Sudah berbulan dirinya dan 5 anak yang masih kecil menumpang teduh di rumah perlindungan. Yang sulong 7 tahun, yang kecil ada 1 tahun, ada 2 tahun.

Kasihan. Anak sekecil itu, perlu kasih sayang seorang ibu, seorang ayah.
Siapa yang menjaga?

"Ada seorang lagi SP mengandung di rumah tu juga, dia tolong tengokkan."

Sehelai sepinggang lari membawa diri dari rumah kekasih lantaran berantakan hubungan, sehingga dokumen anak terpaksa ditinggalkan. Terpaksa dibuat baru walaupun setakat dokumen anak-anak tidak sah taraf. Tetap berharga.

Sudah tidak sehaluan; kata-kata seakan insaf diluahkan. Takkan kembali lagi pada si dia yang gagal mengota janji. Bukan setahun dua, malah lebih tujuh tahun ingin menggapai ikatan yang sah. Setelah 5 anak, dan kini menghampiri yang ke 6, baru ada sekelumit sedar, insaf dan malu.

"Sudah tiga minggu berhenti merokok, doktor. Ni paling lama saya berhenti," ujarnya sedikit bangga.

"Selepas bersalin, nak kerja cari duit. Sara anak. Bayi ni pun saya akan jaga. Anak-anak akan terus tinggal di rumah tumpangan itu."

Bagaimanakah masa depan anak-anak ini? Tiada ibu di sisi, tiada ayah. Hanya penghuni rumah menyapa sekali sekala. Mana rangsangan otaknya, siapakah lawan cakapnya?

Tinggal siapa mengajar tatih? Kapan gerangan mengajar hangatnya kasih sayang sebuah keluarga? Paling penting, terdidikkah rohani, agamanya?

Soalan itu sekadar tinggal persoalan dalam benak sanubari.

Tak sampai dua hari, sewaktu melangkah lalu di sisi katil, terpandang dirinya berbicara riang ria dengan seorang lelaki sasa. Raut Melayu, rambut hitam ikal didandan kemas, namun selang seli dengan rambut diwarnakan 'blonde', persis lelaki Afro Caribbean bergaya.

Itu 'partner'nya, bisik teman di kaunter.

Malu dan insaf si ibu tidak lama, barangkali.

Ini hanya secebis kisah sehari dalam kehidupan kami yang 365 hari bergelumang dengan resah gelisah pesakit dari pelbagai latarbelakang.

Andaikata sang doktor punya bakat menulis, tidak rajin melayan pesakit, susah bangun dikejutkan misi, tidak tahan telinga mendengar leteran 'sunbae', barangkali boleh jadikan pengalaman seharian sebagai permulaan menjinakkan diri dengan mengarang skrip drama mahupun radio.

Kisah gadis bercinta pemuda Pakistan penjual 'carpet' sehingga mengandung. Bila diminta nombor telefon waris untuk dihubungi, cepat mulutnya yang mulus membutirkan nombor. Di hujung gagang, suara lelaki ala ala Imran Khan membuatkan kami takjub sekejap. Nombor kekasih tersemat erat di ingatan, nombor telefon ibu bapa hilang dari lipatan limbic, hippocampus dan amygdala.

Si anak tidak nampak apa salahnya. Tiada malu. Tiada tersipu-sipu anak dara zaman 70an dahulu.

Amat susah untuk mendidik malu di abad ini.

Cukup sukar mengajar anak gadis supaya malu berbicara yang tidak perlu, dengan yang berlainan jantina, yang bukan muhrim.

Cukup sukar mengadakan malu tatkala berbicara di alam siber. Kini, segalanya mudah tanpa perlu berdepan. Hanya di hujung jari boleh bertemujanji. Bila sudah berdepan, lain pula yang jadi. Kamilah yang menerima di kamar bersalin, bilik pembedahan, kadangkala bilik mayat.

Adakah segan dan malu tatkala mendedahkan aurat, walhal sehelai rambut pun? Ibu dan ayah juga sudah tidak malu melihat anak berdandan, bergaya di dada-dada twitter dan instagram. Rasa bangga, malah riak bila cantik anak dipuji. Rasa ada kontribusi di situ.

Anak capai 'like' yang banyak, berkat mewarisi cantiknya mata dan raut wajah ibu, tinggi lampainya ayah. Ayah senyum lebar bila diusik bila hendak menerima menantu, padahal terselak luas aurat, lengan tangan anak yang putih melepak.

Sedari anak dalam kandungan lagi, ada akaun instagram menanti. Kasihan si anak.

Dayus si ayah kerna malu dan marah sudah tidak bermaharajalela bila anak perempuan keluar rumah, melangkaui malam. Dayus si ayah kerna tidak cemburu melihat anak perempuan bertemankan lelaki.

Miskin si ibu kerana tidak mampu mendidik malu dalam jiwa anak lelaki yang berpacaran, berpegang tangan.

Agaknya malu ayah bertanyakan anak kapan solat atau tidak, kerna mungkin si ayah dan ibu juga tidak solat.

Ayah yang sejati, dia pastikan anak bangun awal solat subuh, menyinga jika bangun lewat tatkala matahari tinggi atas kepala.

Ayah mithali, dia bersoaljawab rukun solat dengan anak-anak, menegur silapnya berwudhu', diajarnya doa berpuasa. Tidak mengharap pengajian agama di sekolah, untuk pastikan sebatinya fardhu ain dalam jiwa anak. Rotan di tangan supaya tidak jadi anakku sazali.

Dari kecil, ayah tidak malu anak-anak perempuan tidak cantik berbungkus tudung, dijerkah bila tampak walau sehelai rambut, seinci aurat.

Si ayah takut neraka Allah, malu si ayah mengadap Tuhan jika isteri dan anak engkar arahan Tuhan.

Bertudung tetapi tidak malu bergaya tudung berjenama E, N, O, U, G dan H yang berharga ratusan, tetapi sayang, tidak tepati syarat labuh dan galak mengundang perhatian lelaki dek menarik dan 'elegant'nya.

Biar ayah dikata garang, asalkan anak menjadi insan yang beriman.

Syukur si ayah bukan dengan merdunya suara di youtube, mendendangkan lagu mengharapkan menjadi penyanyi sensasi terbaru.

Tapi syukur si ayah bila betul tajwidnya tatkala mengalunkan ayat Quran dan doa untuk dihadiahkan pada ibu dan ayah sebagai sedekah bila sudah tiada lagi di sisi.

Ibu zaman kini teruja anak dara manis menawan belajar melilit 'shawl' style terbaru, bermekap di youtube.

Hasrat seorang ibu ini? Anak-anak yang ramai menguruskan sendiri jenazah, melilit kain kapan di tubuh kaku ibu.

Kaum wanita di zaman Rasulullah SAW dulu menebal malunya pada waktu perlu malu, cekal hatinya serta bangkit kehadapan tatkala Islam memerlukan.

Para sahabat pula malu jika lambat menyahut seruan Nabi tatkala gendang perang dipalu.

Kita pula malu bercakap yang benar, malas untuk menegur, nanti dikata mengambil tahu hal tepi kain saudara, jiran tetangga.

Kita tidak malu bila Islam diperlekeh penganut sendiri, malah penganut agama lain mahupun golongan liberal dan Atheis.

Berat jari, tangan dan mulut untuk pertahankan Islam, walhal laju sahaja kita 'like' dan 'follow' artis kesayangan.

Masalah umat Islam kini ialah malunya, tidak letak di tempat yang betul. Malunya jarang-jarang kita jumpa, spesies 'extinct' di pentas dunia yang mendamba segala yang L: Liberal, LGBT, Likes, Lies, Laughter, Larger than Life dan lain-lain yang sewaktu dengannya.

Tapi kita jangan lupa, takut-takut ciptaan Tuhan pun malu memberi muka pada kita tatkala kita tersangat inginkan telaga Al Kautsar dan syurga Tuhan.

Malu, kita kena cari, buru dan pakai di pentas dunia yang fana ini sebelum kita dimalukan di alam yang kekal abadi.

                              ~      ~      ~

Penulis ialah seorang pegawai perubatan yang mengimpikan Malaysia dan rakyatnya yang berpegang kepada ajaran agama serta tinggi kesopanan dan kesusilaan seperti termaktub di dalam Rukunegara.

#keluargaberiman
© all rights reserved
made with by templateszoo