NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sanggupkah korban kerusi?



MUKADIMAH
MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan gemar berterus-terang. Ini sehinggakan suatu ketika beliau bercakap benar kepada Perdana Menteri ada kerja di peringkat negeri belum dibereskannya meskipun rakannya berseloroh - Mat Hasan ni tak nak ikut PM ke luar negara.

Pertanyaan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLI JALIL kepada beliau mengenai situasi politik negara kebelakangan ini di Tingkat 5, Blok B, Wisma Negeri, Seremban baru-baru ini dijawab dengan santai tetapi penuh dengan pengertian bermakna.

Mingguan: Dengan pakatan pembangkang agak berkecamuk dan perancangan ekonomi kerajaan nampak tersusun, adakah harapan untuk Barisan Nasional (BN) meraih kembali majoriti dua pertiga?

MOHAMAD: Ada peluang jika pengagihan kerusi dalam kalangan parti-parti komponen dilihat semula. Konsensus perlu dilihat balik. Kita kena duduk semula tengok geopolitik dan demografi pengundi. Sekarang, orang pergi mengundi tidak berdasarkan parti, tapi ikut sentimen dan emosi. Kalau sudah satu-satu tempat tradisinya orang tak boleh terima sesebuah parti komponen sebagai calon, kita kena ubah cara pemilhan calon. Ada kerusi kalau kita bagi calon BN tertentu, kita boleh menang.

Adakah taktik ini yang digunapakai DAP?

MOHAMAD: Ya, DAP menggunakan taktik dan strategi yang amat halus dalam pilihan raya. Kita kadang-kadang menjangkakan kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu dicampur pengundi India boleh menang. Padahal dari segi realiti DAP mempunyai strategi itu yang kita kena baca. DAP tahu majoriti pengundi Cina bersamanya.

Mana-mana kerusi majoriti Melayu dan India lebih 50 peratus atau 60 peratus, DAP takkan letak calon Cina. Dia lebih rela letak calon India. Ini kerana DAP tahu dia akan dapat solid Cina dan pecahkan majoriti itu dengan memperoleh 30 peratus India untuk menang. Dia tahu Melayu susah nak undi DAP.

Maknanya DAP buat kajian sebelum masuk gelanggang?

MOHAMAD: Di Nilai, DAP tak letak calon Cina padahal DAP tidaklah suka sangat calon India tapi kena juga letak India kerana di Nilai pengundinya majoriti Melayu campur India. Macam di Tampin dan Repah, majoriti Melayu campur India sudah majoriti, maka DAP letak calon India dan menang.

Di Senawang begitu juga, DAP guna kaedah ini sebab apabila Melayu campur India hanya minoriti dengan majoriti Cina 90 peratus, maka cuma sokongan 30 peratus lagi pengundi India, DAP menang. Jadi, inilah strategi yang perlu BN lihat dan adaptasi bahawa BN tak boleh lagi terikat dengan cara pembahagian dan pemikiran lama menghadapi pilihan raya umum yang semakin kompleks.

Tak macam dulu, kini lebih rumit dari segi pengundi mempunyai maklumat yang banyak dan pemikiran berlainan. Yang senang main sentimen. Betul atau tidak, pengundi tak kisah.

Bagaimana BN nak kekang sentimen atau persepsi ini dengan cepat. Persepsi ini walaupun ada pakar menanganinya, cara guna fakta pun kena bijaksana, bukankah begitu?

MOHAMAD: Orang yang bercerita (berkempen) kena pandailah. Tak boleh lanyak sahaja, kalau tidak orang akan kelam-kabut. Mesti bagi pada orang yang ahlinya. Kalau bagi yang bukan ahli, sudahnya rakyat lagi keliru.

Ada pihak menguar-uarkan BN ada peluang cerah untuk menang jika persaingan tiga penjuru, betulkah tanggapan ini?

MOHAMAD: Tak semestinya. Saya rasakan ada tempat yang lebih baik BN bertanding dua penjuru sahaja. Saya tak nampak banyak signifikannya tapi kalau di Negeri Sembilan, saya lebih nampak dua penjuru. Tapi di Kedah, Terengganu dan Kelantan, kerana satu-satu kaum itu majoriti, itu lainlah. Di Negeri Sembilan, kalau tiga penjuru, kita susah juga sebab orang Melayu ada pilihan. Undi berpecah. Kalau UMNO disaingi Pas dan PKR, susah juga.

Dari segi senario politik nasional, apa yang dibuat Tun Dr. Mahathir Mohamad ada impakkah pada BN?

MOHAMAD: Dr. Mahathir sama ada mempunyai impak atau tidak, Wallahualam. Cuma sejak dia bekerjasama dengan DAP, orang Melayu tak boleh terima. Saya hormat Tun Mahathir sebagai pemimpin dan negarawan lama, tapi hasrat untuk memusnah dan menghancurkan UMNO serta menumbangkan kerajaan UMNO, itu saya tak boleh terima.

Dia tak boleh terima Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dia benci Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu hal dia. Tapi janganlah sampai bersekongkol dengan DAP yangmemang jelas musuh UMNO, musuh orang Melayu. Dia buat cara dia untuk jatuhkan Najib itu hak dia tapi untuk jatuhkan perjuangan Melayu bagi digantikan dengan sebuah parti yang kita tahu cauvinis, tidak bersimpati dengan Melayu, ini tak boleh diterima.

Seakan-akan nampak DAP mempergunakan Dr. Mahathir?

MOHAMAD: Saya kasihan dan simpati pada beliau yang nampak teraba-raba untuk dapatkan sokongan sehinggakan membelakangkan falsafahnya. Itu satu perkara yang amat mendukacitakan. Saya fikir Dr. Mahathir dah terlajak dari segi perjuangannya. Betul dia sayangkan negara ini dan bangunkan negara ini. Untuk kita putus dan noktahkan negara ini ditadbirkan oleh satu perjuangan yang diasaskan dahulu, itu suatu perkara mendukacitakan. Dia nak menoktahkan pentadbiran Melayu dengan menghancurkan UMNO.

Ini pentadbiran Melayulah. BN sebenarnya UMNO dan UMNO itu Melayu. Dan apatah lagi bekerjasama dengan orang yang benar-benar asas partinya (DAP) ini pun tidak memperakukan hak istimewa orang Melayu menerusi konsep Malaysian Malaysia. DAP adalah anak didik PAP yang sebelum Singapura meninggalkan Malaysia, ideologinya ditinggalkan kepada DAP. Macam mana Dr. Mahathir begitu terdesak sangat, saya sendiri tak faham.

Datuk Seri fikir 1MDB akan jadi bahan kempen dalam PRU kali ini?

MOHAMAD: Di Negeri Sembilan, tak ada apa-apa pun. Tak ada kena mengena isu 1MDB ini di Negeri Sembilan. Yang dia tahu apa pasal minyak masak naik harga. Dia nak buka gerai, dapat buka gerai gembiralah. Tak ada isu 1MDB di kawasan luar dari bandar. Hal 1MDB ini isu dalam kalangan bijak pandai sahajalah.

Adakah orang Melayu masih bergantung pada UMNO?

MOHAMAD: Bukan orang Melayu masih bergantung pada UMNO. Nanti orang Melayu marah dengan telahan itu. Hakikatnya orang Melayu masih sokong UMNO. Orang Melayu tak bergantung pada UMNO tetapi UMNO lah yang bergantung pada mereka. Sekarang UMNO bergantung pada sokongan Melayu. Dalam dua, tiga pilihan raya umum dan sejak dahuu lagi, UMNO menang disebabkan sokongan Melayu. Jadi, UMNO kena jaga hati orang Melayu. Jangan lupa orang Melayu. Agensi-agensi kerajaan kena jaga hati orang Melayu. Jangan lukakan hati mereka. Bahkan saya pernah katakan, jangan kita untung secupak, ruginya berguni-guni.

Harga minyak masak kelapa sawit orang kampung yang banyak pakai dan peniaga Melayu yang banyak guna. Orang pekan (bandar) mungkin banyak pakai minyak Mazola, jagung dan zaitun. Jadi, mengapa kita perlu ambil hak mereka (dengan naikkan harga minyak masak). Apakah kerana nak jimatkan RM1 bilion setahun, kita sanggup rugi dengan gadaikan penyokong tegar kita. Orang di kampung tak tanya pasal 1MDB. Bila saya turun jumpa mereka, soalan ditanya apa pasal minyak masak naik, saya nak jawab apa?

Tapi saya tak dengar pula pasal 1MDB, berapa banyak rugi. Yang ditanya apa pasal minyak masak mahal? Apa pasal Datuk, kami nak buka gerai tak dapat. Tak bolehkah saya niaga sebulan nak cari rezeki dalam bulan puasa ini. Maka saya kata berniagalah. Orang Melayu perlukan dukungan dan sokongan kerajaan sebab Melayu sokong UMNO dan UMNO mesti dukung Melayu. Jangan kita asyik cakap kita nak kurangkan defisit itu ini. Orang takkan faham. Ada sebilangan menteri barangkali tak menoreh, tak ada apa benda dibuat pun. Bila mula bercakap orang dah tidak berapa suka.

SUMBER : UTUSAN ONLINE

#TeamN9kini
© all rights reserved
made with by templateszoo