NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pakatan Harapan: Siapa untung besar?


Baru-baru ini, mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan bersetuju mewujudkan logo baharu dan manifesto bersama bagi melambangkan gabungan empat parti itu dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). 

Keputusan itu dibuat selepas Pakatan Harapan diterajui PKR,DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) bersetuju menerima keanggotaan baharu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). 

Mesyuarat itu juga bersetuju mendaftarkan Pakatan Harapan, iaitu seperti juga pendaftaran Barisan Nasional (BN). Jika pendaftaran diluluskan, maka empat parti gabungan itu akan bertanding atas nama dan logo Pakatan Harapan - bukan lagi DAP, PKR, PAN atau PPBM. Untuk BN yang diwujudkan pada 1974 (ketika itu dikenali sebagai Perikatan berlogokan Perahu Layar, kini Dacing), dari dahulu hingga sekarang diketuai UMNO kerana parti ini mempunyai jumlah kerusi terbanyak, sekali gus melayakkan wakilnya untuk memegang jawatan Perdana Menteri. 

Persoalan yang timbul sekarang ialah parti mana mengetuai Pakatan Harapan? Adakah parti
berasaskan Melayu? PKR bukan parti Melayu, tetapi parti pelbagai kaum yang didominasi Melayu seperti juga dakwaan DAP bahawa ia parti pelbagai kaum, sebaliknya didominasi kaum Cina. Jika Pakatan Harapan mahu diketuai parti Melayu, ia mesti diketuai PPBM atau PAN. Ini juga bermakna, jika Pakatan Harapan mahu didaftarkan secara rasmi, ia seharusnya menamakan Pengerusi dan kemungkinannya ialah Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi PPBM. 

Inilah yang dimahukan DAP kerana dengan jumlah kerusi yang banyak DAP sebenarnya menjadi 'pilot' Pakatan Harapan andai ia berjaya menguasai Putrajaya. PPBM hanya mempunyai satu kerusi Parlimen sekarang, disandang Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Presiden PPBM. DAP mempunyai 38 kerusi dan PKR 27, manakala PAN ada enam kerusi, jauh lebih banyak daripada PPBM. Tidak pasti lagi berapa banyak kerusi boleh dimenangi pada pilihan raya umum akan datang, kerana DAP sendiri dikatakan mahu menang sekurang-kurangnya lebih 50 kerusi Parlimen. Pembahagian kerusi untuk ditandingi empat parti dalam Pakatan Harapan ini, dikatakan masih jauh
daripada penyelesaian dan tanpa penyelesaian konkrit, akan berlaku pertembungan sesama sendiri, termasuk calon tajaan parti yang tidak puas hati. PPBM mahu menumpukan pertandingan di kerusi yang ditandingi UMNO, yang sudah semestinya turut diintai PKR dan PAN.

Jangan lupajuga, PAS yang kemungkinan bertanding secara sendirian, akan turut bersaing. Dalam situasi begini, DAP bakal meraih keuntungan besar kerana 'tiada gangguan' daripada parti pembangkang lain, terutama di kerusi majoriti pengundi Cina. DAP dan BN akan bersaing satu lawan satu, tetapi parti berasaskan Melayu akan bersaing sesama sendiri -sekurang-kurangnya tiga penjuru di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Oleh Kadir Dikoh bhrencana@bh.com.my Penulis adalah Pengarang
Bersekutu (Ehwal Semasa BH) Isnin, 3 April 2017

© all rights reserved
made with by templateszoo