NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kegagalan BN belum cukup untuk menangkan pembangkang



Naib Presiden PAS, Dato' Iskandar A. Samad berkata, kegagalan Kerajaan BN belum cukup untuk mengalahkannya pada pilihan raya umum yang datang jika pembangkang gagal meyakinkan rakyat penyelesaian kepada masalah-masalah yang membelenggu masyarakat dan negara.

Katanya lagi, kenaikan kos sara hidup dan GST memang menekan rakyat tetapi rakyat mahu melihat penyelesaian dari pembangkang sebelum memberi undi kepada mereka.

Beliau turut menegaskan, rakyat hari ini semakin bijak dan pembangkang tidak boleh sekadar memainkan isu-isu sahaja tetapi rakyat mahu melihat dengan terang dan jelas bagaimana negara ini akan ditadbir jika pembangkang diberi kuasa.

Iskandar yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor menyarankan agar pembangkang menzahirkan polisi-polisi mereka untuk semua perkara yang akan memberi kesan kepada hidup rakyat dan tidak ada satu yang boleh ditinggalkan jika mahu mendapat sokongan rakyat.

"Amat penting bagi pemimpin-pemimpin politik turun ke bawah dan bertemu rakyat di akar umbi, dapatkan maklumat yang tepat, apa yang penting kepada pemimpin politik tidak semestinya penting kepada rakyat", tambah beliau.

Beliau juga berharap kejayaan pentadbiran di negeri-negeri Selangor dan Kelantan diberi publisiti yang meluas untuk meyakinkan rakyat akan kemampuan pembangkang.

Tetapi beliau mengingatkan pembangkang tidak boleh merasa terlalu yakin walaupun BN sedang sarat dengan masalah seperti isu 1MDB kerana di dalam politik apa sahaja boleh berlaku. Tambahan pula jika tarikh pilihan raya masih jauh lagi. (1Media.my)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo