Kepura-puraan DAP ini bukan perkara baharu apabila segala tembelang mulai pecah selepas apa yang diperjuangkan selama ini sekadar lakonan.
KUALA LUMPUR: Sikap hipokrit dan talam dua muka DAP terserlah apabila tindakannya selama ini didakwa sekadar lakonan demi mengaut kepentingan politik.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Nurul Islam Mohamed Yusoff, berkata yang terbaru adalah tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut daripada DAP, Chow Yu Hui, membidas himpunan bantahan ke atas Presiden Amerika, Donald Trump, yang melarang kemasukan orang Islam dari tujuh negara.
Pada masa sama, katanya, DAP pernah mempersoal pihak yang membantah kemasukan atlet luncur air Israel menyertai Kejohanan Luncur Air di Langkawi pada 2015.
“DAP pernah dipertikai oleh bekas pemimpinnya seperti Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, Hew Kuan Yaw dan Janice Lee dalam banyak aspek dan perkara.
“Kepura-puraan DAP ini bukan perkara baharu apabila segala tembelang mulai pecah selepas apa yang diperjuangkan selama ini sekadar lakonan.
“Contohnya perjuangan berkaitan alam sekitar seperti Lynas tetapi DAP di Pulau Pinang mengemukakan projek pengangkutan yang memusnahkan alam sekitar negeri itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nurul Islam berkata, begitu juga soal integriti yang tegas dipegang selama ini akhirnya tercalar oleh dakwaan skandal rasuah membabitkan pemimpin tertinggi parti itu.
Pemerintahan ala Khalifah Umar Abdul Aziz yang dicanang pemimpin itu, katanya, menjadi sebaliknya hingga membawa kepada pelbagai cemuhan.
“Begitu juga Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang, yang pernah lantang menyerang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu Bumiputra Malaysia Finance (BMF), namun hingga kini gagal menyatakan pendirian hasil pendedahan terbaru CIA,” katanya. (BHONLINE)