NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Menutup aurat pilihan saya - Yuna


menutup aurat adalah pilihan saya. Saya tidak pernah rasa tertindas. 


KUALA LUMPUR 23 April – Membuat keputusan berhijrah ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), penyanyi kelahiran Alor Setar, Malaysia, Yuna (gambar) boleh sahaja memilih untuk menjadi seperti artis-artis Hollywood kerana tidak apa siapa yang peduli dengannya di sana.

Apa lagi dengan godaan-godaan di depan mata dengan mudah boleh menggugat pendiriannya.

Namun, bagi Yuna, 29, istilah berubah menjadi orang lain tidak pernah ada dalam fikirannya sekalipun dia kini menetap di pusat perkembangan muzik antarabangsa.
Kepada Yuna, imej Islam yang dibawanya tidak pernah sama sekali menindasnya, bahkan dia berasa sangat bebas seperti orang lain.

“Ada orang yang berkata, saya sepatutnya menunjukkan rambut (menanggalkan tudung) kerana saya bukan lagi berada di Malaysia. Saya sepatutnya me­nunjukkan bentuk badan dan berbangga dengannya.

“Kepada mereka saya katakan, menutup aurat adalah pilihan saya. Saya tidak pernah rasa tertindas. Saya bebas,” kata Yuna dalam satu temubual dengan majalah Billboard terbitan Hollywood.

Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai kini mengukuhkan namanya di persada muzik antarabangsa apabila lagu terbaharu dendangannya, Crush berada dalam senarai terhebat carta lagu-lagu paling popular di AS.

Lagu Crush dendangan Yuna bersama penyanyi tersohor antarabangsa, Usher berjaya menduduki tangga ke-18 dalam carta Adult R & B Songs di AS minggu ini.

Dalam temubual itu juga, Yuna yang sangat masyhur dengan lagu Terukir Di Bintang berkongsi kecintaannya pada karya-karya penyanyi ternama Hollywood, Rihanna dan memuji beberapa lagu yang dimuatkan dalam album Anti penyanyi itu.

Sekalipun mengagumi Rihanna, Yuna berpendapat, itu tidak bermaksud dia harus mengikuti cara berpakaian penyanyi yang menjadi idolanya itu.

“Adalah amat mudah untuk menjadi diri saya sendiri dan tidak perlu berusaha kelihatan seperti dia (Rihanna),” tegas Yuna.

Selama berhijrah ke Los Angeles, Yuna mengakui, dia sangat betah dan selesa di negara itu sekalipun ada masanya terkesan dengan semangat anti-imigran, anti-muslim yang ditiupkan oleh calon Presiden AS, Donald  Trump dan lain-lain.

“Dia (Trump) sedang mempromosikan kebencian, keganasan. Adalah sesuatu yang pelik perkara seperti ini diterima dalam sebuah negara moden dan maju

“Bagaimanapun, saya tidak terlalu bimbang. Saya fikir, anda boleh lembutkan hati orang ramai, sekalipun jika mereka memiliki banyak kebencian. Muzik boleh melakukannya (lembutkan hati) seandainya ia cantik dan jujur.

“Seandainya saya dapat mela­kukan perkara itu  walaupun melembutkan hati seorang manusia sahaja, saya anggap itu adalah satu kejayaan buat diri saya,” ujarnya lagi.

http://www.utusan.com.my/berita/nasional/menutup-aurat-pilihan-saya-yuna-1.285731
© all rights reserved
made with by templateszoo