NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan Teknokrat : Bersediakah Malaysia?


[Bahagian 2]

Klik untuk baca [Bahagian 1

Rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang tanpa mengira agama, bangsa dan kecenderungan politik, masing-masing semakin runsing dan resah dengan suasana politik dan ekonomi negara kini. Di tengah-tengah kekusutan ini, Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah membawa cadangan Kerajaan Teknokrat, sesuatu yang agak asing bagi majoriti rakyat Malaysia sebagai solusi kepada masalah tersebut. 



Kami ingin berterima kasih kepada semua di atas respon yang sangat baik ke atas artikel Kerajaan Teknokrat: Bersediakah Malaysia? Bahagian 1. Kami nukilkan Bahagian 2 ini dalam bentuk soalan dan jawapan bagi memudahkan kefahaman para pengunjung sekalian. Kandungannya agak formal, namun ia penting dalam konteks mendidik rakyat dan ahli PAS khususnya tentang Kerajaan Teknokrat ini.



Selamat membaca!



Q : Apa sebenarnya kerajaan teknokrat?
A : Secara mudahnya ialah kerajaan yang bukan terdiri daripada ahli politik tetapi dibentuk daripada sekumpulan teknokrat.

Q : Siapa teknokrat yang boleh membentuk kerajaan ini?
A : Menurut ahli akademik Institut Universiti Eropah, Duncan McDonnell biasanya ada 3 syarat kerajaan teknokrat yang ideal:

a) Tidak pernah pegang apa-apa jawatan awam dibawah lantikan parti politik
b) Bukan ahli rasmi mana-mana parti politik
c) Mempunyai kepakaran bukan politik yang relevan dengan tugas sesebuah kerajaan.

Q : Ada atau tidak negara yang sudah amalkan sistem ini?
A : Ada. Sehingga Jun 2013, ada 24 kerajaan yang dipimpin teknokrat yang wujud dalam 27 negara Kesatuan Eropah (EU) sejak Perang Dunia ke-2.

Q : Bagaimana bentuk kerajaan teknokrat ini?
A : Banyak variasi bergantung kepada suasana ekonomi dan politik di negara terlibat. Antaranya ialah kerajaan teknokrat sepenuhnya (fully technocratic), kerajaan dipimpin teknokrat (technocrat lead government) di mana ketua negara adalah teknokrat dan para menterinya bercampur antara ahli politik dan teknokrat. Ada juga yang guna istilah kerajaan sementara (caretaker government) di mana kerajaan yang ditubuhkan mempunyai kuasa yang agak terhad.

Q : Adakah kerajaan Malaysia sebuah kerajaan teknokrat?
A : Kerajaan Malaysia ialah kerajaan partisan yang dipimpin oleh satu parti politik sahaja. Namun beberapa orang menteri dilantik dikalangan teknokrat yang bukan daripada mana-mana anggota parti politik seperti Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Datuk Paul Low.

Q : Contoh negara teknokrat?
A : Itali (2011-2013), Republik Czech (2009-2010), Finland (1975), Bulgaria (2013), Hungary (2009-2010), Greece (2011-2012), Romania (1999-2000, 2015), Portugal (1979)

Q : Kenapa negara-negara ini membentuk kerajaan teknokrat?
A : Kerana kegagalan menguruskan krisis ekonomi dan krisis kepercayaan dan hilangnya sokongan kepada kerajaan sedia ada yang dipimpin oleh ahli politik. Kerajaan teknokrat ini ditugaskan untuk merangka polisi ekonomi baru dan melaksanakannya. Contoh kerajaan teknokrat pimpinan Monti di Italy (2011-2013) mengambil langkah mengurangkan defisit bajet, menaikkan umur persaraan, dan reformasi pasaran kerja. Di Greece (2011-2012) pula kerajaan teknokrat pimpinan Papademos menaikkan cukai hartanah, mewujudkan sistem pencen yang baru dan memotong elaun sektor awam sebagai cara memulihkan kembali ekonomi negara.

Q : Adakah kerajaan teknokrat berjaya mengeluarkan negara daripada krisis ekonomi?
A : Sebahagian negara berjaya keluar dengan petunjuk ekonomi yang semakin baik manakala sebahagian yang lain pula tidak, malah ada yang lebih buruk daripada sebelumnya.

Q : Adakah kerajaan teknokrat boleh bertahan?
A : Kerajaan teknokrat ialah kerajaan sementara yang biasanya memakan masa lebih kurang setahun ke dua tahun sehingga pilihanraya dipanggil untuk rakyat memilih kerajaan baru selepas negara pulih daripada krisis ekonomi.

Kami berpandangan cadangan ini wajar diteliti sebagai salah satu jalan keluar kepada masalah ekonomi yang makin meruncing apatah lagi dalam keadaan krisis kepercayaan kepada kepimpinan negara.

Cadangan Tuan Guru Presiden ini memberi mesej kepada rakyat dan ahli PAS khususnya bahawa PAS bercita-cita membawa negara ke arah pentadbiran yang lebih baik dan tidak tergila-gilakan pangkat dan jawatan. 

Kami alu-alukan sebarang bentuk perbincangan berkaitan isu ini sebagai sebahagian usaha kita bersama membantu mencari jalan penyelesaian kepada masalah negara. 

Artikel telah disiarkan dalam laman facebook kami pada hujung 2015 dan kami terbitkan kembali sempena Konvensyen Profesional Malaysia pada 18 Mac 2017 ini.

Bersambung di bahagian 3.....

© all rights reserved
made with by templateszoo