NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kajian Persepsi Pindaan RUU 355 Anjuran GAMIS

Dapatan ini, jelas menunjukkan bahawa mahasiswa secara umumnya menyokong pindaan RUU 355.


Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) telah menjalankan satu kajian persepsi di seluruh Malaysia bagi mengkaji trend dan pandangan mahasiswa Islam terhadap Usul Persendirian Pindaan Rang Undang-Undang Akta 355. Dapatan dari kajian tersebut, seramai 2658 orang responden telah direkodkan sebagai data kajian bermula 2 Oktober sehingga 22 Oktober 2016 yang lepas .

Berikut adalah analisis hasil dari kajian yang telah dijalankan:

1. Dari keseluruhan responden tersebut, seramai 2387 orang responden maklum mengenai Usul Pindaan RUU 355 yang telah dibawa oleh YB Marang Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Sementara 271 orang responden lagi tidak mengetahui tentang adanya usul pindaan tersebut.

2. Berkenaan kefahaman mahasiswa terhadap Usul Pindaan tersebut, seramai 2078 orang responden didapati memahami apakah kandungan pindaan RUU tersebut sementara 580 orang responden masih lagi tidak memahami kandungan usul pindaan tersebut.

3. Majoriti responden mendapat maklumat berkenaan pindaan RUU Akta 355 dari media sosial seperti Facebook dan lain-lain iaitu sebanyak 35%, adapun medium komunikasi maya Chat dan Messenger seperti Whatsapp, Telegram dan lain-lain juga membantu dalam menyebarkan maklumat mengenai pindaan RUU iaitu sebanyak 27%. Baki peraturan lain ramai yang mendapat maklum berkenaan isu terbabit menerusi program seperti ceramah dan seminar.

4. Selain itu, mengenai sokongan mereka terhadap usul pindaan tersebut, 96% responden menyokong usul pindaan tersebut dilakukan kerana ia membantu pemerkasaan Mahkamah Syariah dan dapat mengurangkan masalah sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat Islam di negara kita. Bagi yang tidak menyokong pula iaitu seramai 4% responden berpendapat bahawa pindaan tersebut remeh dan bukanlah isu yang patut difokuskan sekarang. Sebahagian kecil dari kalangan responden mengatakan mereka belum jelas butiran dan isi kandungan pindaan RUU tersebut.

5. Akhirnya, kami mendapati majoriti dari jumlah responden menyatakan bahawa pindaan RUU tersebut harus disokong oleh semua masyarakat Islam di Malaysia.

Berdasarkan dapatan ini, jelas menunjukkan bahawa mahasiswa secara umumnya turut menyokong pindaan RUU ini (berdasarkan jumlah responden kami). GAMIS sebagai wakil front mahasiswa Islam akan turut bersama dengan mahasiswa Islam yang lain turut mendokong usul pindaan RUU Akta 355 ini. Andai ia berjaya kelak, pindaan kali ini akan memartabatkan posisi lebih baik Mahkamah Syariah dalam konteks penguatkuasaan undang-undang di Malaysia.

Semoga usaha ini turut disokong oleh seluruh rakyat di Malaysia khususnya umat Islam seluruhnya merentasi fahaman politik dan segmen masyarakat. Agar usaha ini mendapat keberkatan dari Allah Azzawajalla. InsyaAllah!

Bersama Melangkah Menuju Perubahan,

Jabatan Kajian dan Intelektual (JKI),
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) sesi 2016/2017.

(Kajian ini dikongsi sebagai tatapan massa pada 6 November 2016)
© all rights reserved
made with by templateszoo