NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS Pusat bincang kedudukan MB Perlis minggu depan




ARAU
: PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat bersama pimpinan PAS Perlis minggu depan bagi membincangkan perkembangan semasa negeri itu, termasuk pendirian parti terhadap Menteri Besar.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, pendirian PAS ketika ini masih kekal menyokong kepimpinan Abu Bakar Hamzah seperti sebelum ini.

Bagaimanapun, jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, keputusan sama ada sokongan itu akan diteruskan, bergantung kepada hasil mesyuarat berkenaan.

“PAS pusat akan bermesyuarat minggu depan. Kita akan bincang situasi di Perlis, sama ada nak kekal menyokong Menteri Besar ataupun sebaliknya. Setakat ini pendirian kita masih macam sebelum ini. 

“Kita menyokong kepimpinan Menteri Besar yang ada hari ini. Keputusan itu bergantung pada mesyuarat nanti,” katanya di Majlis Himpunan Jentera Pilihan Raya PAS DUN Simpang Empat di Surau Tok Miah, Simpang Empat, malam tadi.

Beliau menjawab demikian ketika ditanya wartawan mengenai isu di Perlis susulan tindakan Lembaga Disiplin BERSATU terhadap Abu Bakar yang menggantung pemimpin itu.

Menurutnya, mesyuarat itu akan melibatkan PAS Pusat dan pimpinan PAS Perlis bagi mendengar perkembangan semasa sebelum keputusan dibuat.

“Mesyuarat melibatkan PAS Pusat dengan pimpinan PAS di Perlis. Kita nak bincang dan dengar perkembangan semasa, serta apa yang perlu PAS Pusat putuskan. PAS Pusat akan buat keputusan,” ujarnya.

Ditanya sama ada perkara itu pernah dibincangkan sebelum ini, Afnan berkata isu Perlis sudah beberapa kali dibincangkan dan beliau turut terlibat dalam perbincangan berkenaan.

“Banyak kali bincang dah Perlis ini, tiga kawasan Parlimen saja. Saya pun terlibat dengan perbincangan-perbincangan sebelum ini,” katanya.

Mengulas isu politik di Melaka, beliau berpandangan kemelut yang berlaku perlu diselesaikan satu demi satu bagi mengelakkan terlalu banyak isu ditangani serentak.

“Pada pandangan saya, ini pandangan peribadi sayalah, kita tumpu satu-satu. Sebelum ini tumpu di Melaka dulu. Kita selesai satu-satu, jangan bagi berselerak banyak tempat. Selesai satu-satu,” katanya.

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Afnan berkata negeri itu belum menjadi tumpuan ketika ini dan isu berkenaan akan dibincangkan berasingan.

“Sarawak tak terlibat lagi. Sarawak Isnin baru bubar. Jangan tanya malam ini. Kita akan selesaikan satu-satu,” katanya.

Beliau turut menegaskan semua kemelut yang timbul akan diselesaikan secara berperingkat.

Dalam perkembangan berkaitan, surat penggantungan keahlian Abu Bakar daripada BERSATU selama dua penggal pemilihan dibuat Lembaga Disiplin parti itu yang bersidang pada 13 Oktober 2026.

Surat bertarikh 14 Oktober 2026 itu menyatakan penggantungan berkuat kuasa mulai tarikh surat dikeluarkan susulan tindakan Abu Bakar yang dikatakan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU serta kod etika dan tatakelakuan ahli.

Dengan penggantungan itu, Abu Bakar dilucutkan semua jawatan yang dipegang dalam parti dan tidak boleh membuat sebarang kenyataan atas nama BERSATU sehingga tamat tempoh penggantungan.

Beliau diberi tempoh 14 hari dari tarikh surat berkenaan jika ingin mengemukakan rayuan kepada Lembaga Disiplin. – HARAKAHDAILY 24/10/2026




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo