Anwar juga mempersoalkan dari mana sumber diambil oleh pihak yang mendakwa semua hutang 1MDB sudah dilunaskan itu.
“Ada yang menyatakan hutang 1MDB dah bayar semua. Saya tak tahu daripada mana, kitab mana dia baca. Itu tak betul,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan.
Anwar berkata jumlah keseluruhan hutang negara mungkin meningkat kerana kerajaan masih perlu membayar hutang lama berserta faedah, selain menguruskan keperluan ekonomi semasa.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pinjaman baharu perlu dibuat secara bertanggungjawab bagi mengelakkan generasi akan datang menanggung beban perbelanjaan berlebihan daripada kerajaan hari ini.
“Kerajaan yang bertanggungjawab hanya akan membuat pinjaman mengikut keperluan untuk menguruskan ekonomi, tetapi pada masa sama sentiasa merancang untuk masa depan,” katanya.
Pada 9 Julai lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata kerajaan menanggung keseluruhan obligasi berkaitan 1MDB berjumlah RM51.4 bilion, termasuk komitmen yang telah dibayar dan yang masih perlu dilunaskan sehingga 2039.
Katanya, daripada jumlah itu, kerajaan telah membayar RM42.5 bilion bagi melunaskan hutang dan komitmen 1MDB yang merangkumi bayaran prinsipal, faedah, kos guaman, kos operasi serta komitmen lain.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata walaupun tidak semua kehendak dapat dipenuhi dalam Belanjawan 2027, menurut perdana menteri ia diterima baik rakyat kerana kerajaan berusaha menyantuni pelbagai lapisan masyarakat.
Anwar turut menyentuh beberapa inisiatif yang dilaksanakan segera dalam belanjawan itu, termasuk pembukaan pendaftaran rumah di Bandar Madani, Sungai Besi, oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta bantuan khas RM1,000 kepada pemandu teksi oleh Kementerian Pengangkutan.
Beliau berkata pihak yang mengkritik Belanjawan 2027 sebenarnya tidak memahami dasar ekonomi kerajaan dan menggesa mereka mengkaji serta membaca belanjawan yang dibentangkan beliau di Dewan Rakyat itu.
“Jerebu itu udara, tapi Belanjawan tak jerebu. Masalah tak baca. Kalau baca, jelas angka dan datanya. Dibuat dengan begitu teliti,” katanya.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment