NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bertahun-tahun menentang GST, akhirnya akui SST ada kelemahan – MCA



KUALA LUMPUR – DAP perlu menjelaskan pendiriannya berhubung cadangan sistem hibrid Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana parti itu sebelum ini bertahun-tahun berkempen menentang pelaksanaan GST.

Pengerusi Biro Profesional Muda MCA Wilayah Persekutuan, Dr. Chris Daniel Wong berkata, pemansuhan GST menjadi antara mesej utama DAP dan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dengan PH berjanji mengembalikan SST atas alasan GST membebankan rakyat.

Namun, katanya, lapan tahun kemudian, kerajaan kini mengakui kelemahan SST, selain mengiktiraf kecekapan dan ketelusan GST.

“Adakah DAP masih berpendapat GST mempunyai kelemahan asas? Jika ya, mengapa mekanisme berasaskan GST diperkenalkan ke dalam SST?

“Jika GST lebih cekap dan telus, mengapa tidak mempertimbangkan secara terbuka untuk mengembalikannya?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mempersoalkan tindakan memperkenalkan mekanisme GST menerusi sistem hibrid berbanding membincangkan secara terbuka kemungkinan untuk mengembalikan GST yang dimodenkan.

Menurutnya, persoalan turut timbul sama ada sistem hibrid itu dicadangkan bagi mengelakkan rasa malu politik selepas bertahun-tahun menentang GST, selain mengapa golongan perniagaan perlu menanggung kos pematuhan lebih tinggi bagi memenuhi kompromi politik.

Ia kerana, kata Chris Daniel, GST dan SST pada asasnya merupakan dua sistem percukaian yang berbeza.

Katanya, penggabungan mekanisme kredit cukai input dan penjejakan rantaian bekalan seperti GST dengan pelbagai kadar, pengecualian serta klasifikasi SST berpotensi menyebabkan perniagaan berdepan kos pematuhan seperti GST, kelemahan SST serta keperluan e-Invois tambahan.

Beliau berkata, DAP berhak mengubah pendirian sekiranya realiti ekonomi berubah, namun parti itu perlu berterus terang kepada rakyat mengenai perubahan tersebut.








“Jika GST merupakan sistem yang lebih baik, perkenalkan GST yang lebih mudah dengan kadar lebih rendah serta bantuan bersasar kepada isi rumah berpendapatan rendah.

“Jika SST masih lebih baik, maka perbaikinya,” katanya.

Menurutnya, Malaysia tidak memerlukan sistem hibrid yang rumit hanya untuk mengelak daripada mengakui bahawa pendirian politik terdahulu mungkin tidak lagi sesuai.

“Dasar percukaian perlu berasaskan kecekapan, daya saing dan kepastian, bukannya untuk menyelamatkan maruah politik,” katanya. – MalaysiaGazette







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo