NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jangan takut PAS, calon MIPP Lukut beritahu pengundi India



SEREMBAN:
 Calon MIPP bagi kerusi DUN Lukut, N Sathes Kumar, menggesa pengundi India supaya tidak takut kepada PAS, sambil menegaskan bahawa parti Islam itu menghormati semua kaum dan tidak memaksakan agenda agamanya ke atas rakan-rakan dalam gabungan.

Sathes, yang bertanding dalam PRN Negeri Sembilan di bawah panji Perikatan Nasional (PN), berkata PAS bekerjasama dengan MIPP tanpa memberi tekanan kepada parti yang berteraskan masyarakat India itu dalam soal agama.

“PAS memang parti Islam, tetapi ia menjaga kebajikan orang Islam dan juga masyarakat lain,” katanya kepada FMT ketika diminta mengulas kebimbangan dalam kalangan pengundi India terhadap pengaruh PAS yang semakin meningkat dalam PN.

“Datanglah menyokong kami. Saya boleh memberi jaminan bahawa rakan-rakan kami daripada PAS tidak akan membawa agama Islam ke dalam politik. Mereka akan bekerjasama dan membantu kami.”

Kempen PRN Negeri Sembilan baru-baru ini dicemari retorik berunsur perkauman selepas Naib Presiden PAS yang juga Pengarah Pilihan Raya PN, Sanusi Nor, didakwa berkata dalam satu ceramah bahawa orang Melayu tidak mempunyai tanah air selain Malaysia, manakala orang Cina dan India mempunyai China dan India sebagai tanah asal masing-masing.

Sanusi kemudiannya menafikan bahawa beliau mempertikaikan kewarganegaraan atau hak masyarakat Cina dan India di Malaysia.

Kenyataannya itu juga menerima kecaman daripada beberapa pemimpin politik, termasuk Pengerusi Barisan Nasional (BN), Zahid Hamidi, walaupun BN mempunyai persefahaman pilihan raya dengan PN.

Sathes berdepan penyandang daripada Pakatan Harapan (PH), Choo Ken Hwa, serta calon Bebas, Teo Seng Lee, dalam pertandingan tiga penjuru bagi kerusi Lukut.

Choo mewakili Lukut sejak 2018, manakala bekas Adun DAP, Ean Yong Hian Wah, pernah mewakili kawasan bercampur itu dari 2008 hingga 2013.

Sathes turut merayu pengundi India agar memberikan sokongan kepadanya, sambil berkata bahawa jika dipilih, beliau akan memperjuangkan kepentingan semua kaum, namun akan memberi perhatian khusus kepada isu yang melibatkan masyarakat India.

“Saya akan melakukan yang terbaik dan bekerja khususnya untuk masyarakat India kerana saya berasal daripada masyarakat India. Tetapi bukan untuk orang India sahaja, saya juga akan berkhidmat kepada semua kaum sebagai wakil PN,” katanya.

Walaupun Lukut dianggap sebagai kubu kuat DAP, Sathes mendakwa rasa tidak puas hati terhadap kerajaan sedia ada semakin meningkat, khususnya dalam kalangan pengundi Cina.

“Gelombang sudah berubah kerana di setiap rumah dan tempat yang kami kunjungi, terutama dalam kalangan pengundi Cina, kami dapati mereka sudah muak dengan kerajaan sekarang. Mereka mahukan perubahan.

“Saya dapat melihat kemarahan yang begitu besar terhadap PH. Jadi saya berharap pengundi Cina akan memberi undi kepada saya dalam pilihan raya kali ini,” katanya.


Sumber | FMT Malaysia









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo