NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Senarai calon MCA tular palsu, kekal positif peroleh 15 kerusi



ISKANDAR PUTERI – MCA Johor menafikan dakwaan bahawa satu senarai calon yang tular di media sosial, khususnya melibatkan kerusi yang ditandingi parti itu, merupakan dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh MCA.

Timbalan Pengerusi MCA Johor, Ling Tian Soon berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang surat atau senarai seperti yang tersebar dan menyifatkannya ia perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengelirukan masyarakat menjelang pilihan raya.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri itu menjelaskan, penyebaran dokumen palsu dan spekulasi seumpama itu bukan perkara baharu apabila memasuki musim pilihan raya.

“Sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan MCA Johor, saya menafikan sekeras-kerasnya senarai tersebut. MCA tidak pernah mengeluarkan surat berkenaan. Ia mungkin ciptaan pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Biasalah apabila tiba musim pilihan raya, pelbagai spekulasi dan dokumen palsu akan ditularkan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Jururawat Sedunia peringkat negeri dirasmikan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di sini, pada Khamis.

Tuan Soon yang juga Ketua Pemuda MCA Kebangsaan turut menggesa orang ramai supaya mendapatkan maklumat hanya daripada saluran rasmi parti atau kerajaan bagi mengelakkan kekeliruan.

Dalam pada itu, beliau yang juga ADUN Yong Peng memaklumkan MCA telah mengenal pasti calon-calon lebih awal dan menyerahkan senarai cadangan kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk proses tapisan serta pertimbangan lanjut.

“Kami telah menghantar senarai calon kepada BN untuk membuat tapisan dan keputusan. Perbincangan terakhir dibuat berdasarkan 15 kerusi yang ditandingi MCA sebelum ini.

“Ada calon muda, ada juga calon senior. Begitu juga melibatkan calon lelaki dan wanita,” katanya.

Mengulas mengenai jumlah kerusi yang bakal diperuntukkan kepada MCA pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, beliau berkata perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan BN untuk dimuktamadkan.

“Kami positif mengenai 15 kerusi yang ditandingi sebelum ini, namun keputusan akhir biarlah dibuat oleh kepimpinan parti di peringkat negeri dan BN.

“Berapa pun jumlah kerusi yang diputuskan nanti, MCA akan menerimanya dengan semangat setiakawan dalam BN. Setiap parti ada asas dan pertimbangannya sendiri dalam rundingan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengesahkan konvensyen BN yang dijadualkan pada 14 Jun ditangguhkan dan partinya kini fokus dengan pelancaran Jentera BN pada 7 Jun ini.


Sumber | Sinar Harian















........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo