SHAH ALAM - Kira-kira 2,000 pengusaha bas sekolah berdaftar (van) dijangka terpaksa menaikkan kadar tambang mulai bulan depan susulan tekanan kos bahan api.
Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat berkata, perkara itu disebabkan kelewatan menerima kemudahan kad fleet dibawah Skim Kawalan Petrol Subsidi (SKPS).
Menurut beliau, kebanyakan pengusaha kini terpaksa bergantung kepada kuota subsidi program Budi Madani RON95 (BUDI95) bagi menampung keperluan operasi harian.
"Bas sekolah layak menerima manfaat di bawah sektor pengangkutan darat awam SKPS dan permohonan telah dikemukakan sejak Januari melalui sistem MySubsidi dan pejabat Menteri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Mac lalu namun, sehingga kini tiada maklum balas diterima.
"Ada juga pengusaha bas sekolah yang sudah diluluskan tetapi mereka masih belum menerima kad fleet itu lagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.
Jelas Amali Munif, kenaikan tambang tersebut merupakan sebahagian langkah untuk menampung kesan kerugian berterusan.
"Sektor kami layak menerima kemudahan subsidi petrol namun pelaksanaannya tidak nampak lagi dan kebanyakan operator hanya boleh bertahan sehingga hujung bulan ini.
"Sekiranya krisis bahan api ini berlanjutan kemungkinan kos operasi dan penyelenggaraan dijangka akan meningkat walaupun ketika ini, kesan itu tidak nampak lagi," ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan diminta segera campur tangan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu tersebut selaras dengan peningkatan kos petrol.
"Kami sedaya upaya tidak mahu membebankan pengguna kerana mereka juga dalam kalangan penduduk setempat yang mana lebih 80 peratus daripada keluarga B40.
"Syarikat kecil kami juga sudah tidak mampu lagi menyerap kerugian yang berterusan. Justeru diharapkan kerajaan dapat mempercepatkan proses dan dapat turun jalankan pemantauan," katanya lagi.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment