NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pesawah Tertekan Kos Melonjak, Ancam Henti Tanam Padi

ALOR SETAR – Golongan pesawah kini berdepan tekanan hebat susulan peningkatan mendadak kos operasi, hingga ada yang mempertimbangkan untuk menghentikan penanaman padi jika tiada campur tangan segera kerajaan.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, kos perkhidmatan seperti pembajakan dan penuaian meningkat lebih 50 peratus, malah boleh mencecah sehingga 65 peratus apabila digabungkan dengan kenaikan harga baja dan racun.

Menurutnya, kenaikan harga diesel menjadi faktor utama yang membebankan, selain keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Dalam tempoh sebulan sahaja, kos meningkat sangat ketara. Jika berterusan, ramai pesawah mungkin tidak lagi mengusahakan sawah musim ini,” katanya selepas perhimpunan aman lebih 60 pesawah di Langgar, Kedah.

Beliau turut melahirkan kekesalan apabila sektor penanaman padi tidak disenaraikan dalam Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), menyebabkan pesawah terpaksa membeli diesel pada harga pasaran sekitar RM6.72 seliter.

Katanya, hampir keseluruhan operasi sawah bergantung kepada diesel termasuk penggunaan traktor, mesin padi dan pam air, sekali gus meningkatkan kos pengeluaran secara mendadak.

Walaupun terdapat insentif kerajaan, Abdul Rashid menyifatkan kadar yang diberikan tidak lagi relevan dengan kos sebenar. Insentif pembajakan sebanyak RM60 sehektar dan RM50 untuk penuaian jauh lebih rendah berbanding kos sebenar yang melebihi RM600.

“Jurangnya terlalu besar dan semakin sukar ditanggung pesawah,” katanya.

Beliau memberi amaran bahawa jika 30 peratus daripada 600,000 hektar kawasan sawah tidak diusahakan, ia boleh menjejaskan bekalan makanan negara.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PeSAWAH, Azahar Hashim berkata, kenaikan diesel turut memberi kesan kepada pengusaha jentera apabila kos satu tong meningkat hampir tiga kali ganda, daripada sekitar RM45 kepada lebih RM130.

Keadaan itu memaksa pengusaha menaikkan kadar upah, sekali gus memindahkan beban kepada pesawah.

Malah, ada pesawah di Perak mula beralih kepada tanaman lain seperti kelapa sawit dan tanaman kontan bagi menjamin pendapatan lebih stabil.

Seorang pemilik traktor, Mohd Amirul Idris pula berkata, harga diesel yang tidak menentu menyukarkan penetapan kadar upah.

“Apabila harga berubah setiap minggu, kami tidak dapat tetapkan kadar yang tetap,” katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo