CYBERJAYA – Kerajaan Persekutuan akan meneliti cadangan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah agar status bebas cukai di Langkawi dikembalikan bagi merancakkan semula sektor pelancongan pulau tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu wajar diberi perhatian memandangkan keadaan pelancongan di Langkawi kini dilihat sedikit malap selain kos yang semakin tinggi sehingga menjejaskan daya tarikan kepada pelancong domestik.
“Ya, itu kita teliti, satu cadangan yang harus diberikan perhatian kerana kedudukan pelancongan di Langkawi itu malap sedikit.
“Saya dah minta Menteri Kewangan II melihat keseluruhannya di mana boleh dibantu semula kerana kos di Langkawi sudah agak tinggi, itu dengan sendiri tidak dapat menarik pelancong dari dalam negeri sekalipun,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Bomba Cyberjaya, di sini hari ini.
Tambah beliau, perkara tersebut sebenarnya telah pun dibincangkan sebelum ini, namun perlu diteliti secara menyeluruh berikutan terdapat pelbagai permintaan lain yang turut perlu dipertimbangkan kerajaan.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Sultan Kedah atas cadangan tersebut dan memberi jaminan kerajaan akan meneliti langkah terbaik demi memulihkan ekonomi pelancongan Langkawi.
Sebelum ini media melaporkan, Sultan Sallehuddin bertitah menyeru agar Kerajaan Persekutuan dapat mengembalikan semula status Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai dengan keistimewaan yang dinikmati sebelum ini.
Sultan Sallehuddin bertitah, baginda difahamkan status Langkawi sebagai pulau bebas cukai masih kekal, namun beberapa keistimewaan yang sebelum ini dinikmati telah dikurangkan.
Titah baginda, ia termasuk pelaksanaan kadar cukai kepada kenderaan yang dihadkan, cukai-cukai kepada produk yang berasaskan tembakau serta barangan lain. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment