JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor mencadangkan kerajaan negeri memanggil semua parti politik untuk duduk semeja dalam masa terdekat bagi membincangkan isu ekonomi rakyat yang semakin mencabar.
Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, cadangan itu mengambil kira situasi global semasa khususnya ketidaktentuan akibat konflik di Asia Barat.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor itu berkata, ia kerana kesannya secara langsung kepada ekonomi negara termasuk kenaikan kos barangan dan tekanan terhadap rantaian bekalan.
“Amanah Johor berpandangan bahawa kepentingan rakyat mesti mengatasi perbezaan politik dan semua pihak perlu mengetepikan sementara sentimen kepartian demi mencari penyelesaian bersama terhadap cabaran yang sedang dihadapi.
“Perbincangan yang dicadangkan perlu memberi tumpuan kepada isu-isu utama seperti kos sara hidup, bekalan bahan mentah, harga barang keperluan, pengurusan sumber air mentah, pembangunan ekonomi serta kesejahteraan sosial rakyat Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aminolhuda berkata, Amanah Johor berharap kerajaan negeri tidak meminggirkan mana-mana pihak, sebaliknya membuka ruang inklusif agar setiap suara dapat didengar dan menyumbang ke arah penyelesaian yang lebih menyeluruh.
Katanya, pendekatan libat urus secara terbuka penting bagi memastikan setiap dasar atau tindakan yang diambil adalah telus, berasaskan realiti semasa serta mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk pembangkang dan masyarakat sivil.
Ahli Parlimen Sri Gading itu yakin bahawa melalui semangat kebersamaan dan kepimpinan yang inklusif, Johor mampu menghadapi cabaran ekonomi ini dengan lebih berkesan serta memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Tambahnya, Amanah Johor komited untuk terus memainkan peranan konstruktif dalam memastikan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Johor sentiasa menjadi keutamaan.- MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment