NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sanusi bidas Saifuddin, dakwa giat berkempen PRU guna dana kerajaan di Kedah




ALOR SETAR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membidas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang didakwa menyalahgunakan agensi serta dana kerajaan bagi tujuan kempen politik di Padang Serai dan Kulim.

Menurut beliau, amalan menggunakan jentera kerajaan untuk kepentingan peribadi dan politik adalah tidak wajar serta bercanggah dengan prinsip berpolitik secara matang.

“Berpolitik lah secara ‘gentleman’, jangan salah guna kuasa. Jangan guna dana dan agensi awam untuk kepentingan politik.

“Kalau nak menang, nak kempen untuk diri sendiri dan nak jadi wakil rakyat di situ, guna dana parti atau dana sendiri. Jangan guna agensi kerajaan,” katanya memetik laporan Kedah Online di sini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Dana Pilihan Raya Pas Kawasan Kuala Kedah, di Dewan Al-Amin, Teluk Bagan semalam.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya (PN) dan Pas Pusat mendakwa Saifuddin kerap turun ke Kulim kebelakangan ini sehingga kawasan itu digelar orang ramai sebagai Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kulim.
“Semua program disusun ke Kulim dan Padang Serai kerana beliau sedang pulun kempen untuk bertanding di situ. Sampai orang panggil KDN Kulim,” katanya.

Menteri Besar Kedah itu turut mempersoalkan tindakan agensi kerajaan yang dilihat bertungkus-lumus menjayakan program yang disifatkannya sebagai kempen terselindung.

“Masuk agensi kerajaan, masuk masjid, surau, institusi pendidikan, semua itu untuk kempen bagi menang pilihan raya menggunakan agensi kerajaan tanpa segan silu. Semua orang tahu itu program kempen dia,” katanya.

Tegas beliau, Pas tidak akan sesekali menggunakan jentera atau dana kerajaan untuk tujuan kempen Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kita buat dasar tak pakai duit kerajaan untuk program parti. Tak pakai dana kerajaan untuk kempen. Inilah yang membezakan Pas dengan UMNO dan PH,” katanya.

Dalam masa sama, Sanusi berharap penjawat awam yang merasakan diri mereka dipergunakan untuk kepentingan politik supaya berani menolak.

“Itu bukan kerja mereka. Bukan bidang tugas kaki tangan awam untuk heret ahli politik mana-mana bagi kempen diri dia.

“Saya tengok lama dah, tak kata apa pun. Sebenarnya perkara itu tak betul. Kalau kita bercakap isu ini, dia kata kita dengki. Bagi saya kalau benda itu tak betul, kita kata tak betul, bukan sebab dengki tapi amal makruf nahi mungkar,” ujarnya.

Tambah beliau, tidak sewajarnya untuk berdiam diri sekiranya berlaku salah guna kuasa di depan mata.
“Tak kan tak boleh menegur, saya harap di tempat lain tidak berlaku macam ini.

“Di Kedah, insya-ALLAH sedaya upaya kita akan guna jentera dan dana parti sendiri untuk kempen PRU akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo