PETALING JAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz dipilih sebagai Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) selepas pemilihan dalaman pertama parti itu hari ini, walaupun hanya menduduki tempat ketiga dalam undian bagi Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP).
Dalam pengundian tersebut, Amira memperoleh 103 undi daripada perwakilan.
Beliau berada di belakang Leben Siddarth yang meraih undi tertinggi dengan 110 undi, manakala Saiyidah Izzati Nur berada di tempat kedua dengan 104 undi.
Mengikut sistem pemilihan MUDA, seramai 25 calon yang mendapat undi tertinggi akan dipilih sebagai anggota JKEP sebelum mereka menentukan sendiri barisan kepimpinan tertinggi parti termasuk jawatan presiden.
Amira yang sebelum ini memangku jawatan presiden dilihat sebagai calon utama untuk memegang jawatan itu sekiranya berjaya memenangi kerusi dalam JKEP, susulan sokongan yang diterima daripada beberapa calon lain sebelum proses pengundian berlangsung.
Pemilihan dalaman pertama MUDA yang tertangguh sekian lama itu berlangsung hari ini dengan penyertaan kira-kira 125 perwakilan yang hadir mengundi.
Sementara itu Amira Aisya ketika mengumumkan barisan kepimpinan baharu parti itu bagi penggal 2026 hingga 2029 selepas mesyuarat pertama JKEP memaklumkan mencapai keputusan sebulat suara mengenai beberapa pelantikan penting, termasuk melantik Zaidil Baharudin sebagai Timbalan Presiden Muda.
Menurutnya, pelantikan tersebut dipersetujui dalam mesyuarat JKEP yang diadakan hari ini sebagai sebahagian daripada pembentukan kepimpinan baharu parti selepas pemilihan yang melibatkan ahli-ahli muda.
Dalam sidang medianya, beliau turut mengumumkan lima Naib Presiden MUDA iaitu Liban Sida, Faizrah Nizalman, Zarul Afiq, Dobby Choo dan Dr. Siva.
Selain itu, jawatan Ketua Penerangan parti diberikan kepada Rashid Abu Bakar.
Amira Aisya turut memaklumkan bahawa jawatan Setiausaha Agung kekal disandang Aini Haziqah yang menurutnya merupakan pilihan beliau bagi menggalas tanggungjawab tersebut.
“Pelantikan Bendahari Agung serta lima lagi jawatan dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat yang berada di bawah kuasa presiden akan diumumkan selepas cuti Hari Raya,” katanya.
Pada masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua perwakilan muda calon yang bertanding serta perwakilan jemputan dan pemerhati yang terlibat sepanjang proses pemilihan parti.
Amira Aisya berkata, barisan kepimpinan baharu itu memikul mandat besar daripada ahli-ahli muda yang memilih mereka untuk menerajui parti bagi penggal 2026 hingga 2029.
Beliau yakin kesemua 25 ahli JKEP mempunyai visi dan misi tersendiri serta mampu membawa MUDA ke tahap lebih tinggi sekiranya terus melaksanakan agenda dan manifesto yang dijanjikan kepada ahli.
“Saya mohon doa daripada semua perwakilan agar kami dapat menjalankan tugas dengan baik, terus mengangkat suara rakyat dan tidak pernah melupakan mereka yang susah, sakit dan lapar.
“Doakan juga agar kami dapat terus mencorak masa depan Malaysia di mana setiap anaknya dapat hidup dengan bermaruah,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment