NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemuda GRS tolak penyertaan BN dalam kerajaan negeri Sabah



KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS) menolak sebarang usaha membawa Barisan Nasional (BN) menyertai Kerajaan GRS Plus yang kini diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Sayap pemuda itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, GRS Plus telah pun melepasi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri dengan komposisi semasa melibatkan GRS sebanyak 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN); Bebas (5) dan UPKO (3); STAR (2) serta masing-masing satu kerusi Pakatan Harapan (PH) dan KDM.


Selain itu, katanya, kedudukan kerajaan juga akan bertambah kukuh dengan pelantikan enam Ahli Dewan Undangan Sabah Dilantik, sekali gus memastikan kestabilan pentadbiran negeri di Dewan Undangan Sabah.

“Komposisi Ahli Yang Berhormat dalam Kerajaan GRS Plus pada ketika ini adalah kukuh, stabil dan mencukupi untuk meneruskan agenda pembangunan negeri tanpa memerlukan sebarang penambahan daripada pihak yang telah ditolak oleh rakyat,” katanya.

Tambah kenyataan itu, keputusan pengundi pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah lalu wajib dihormati.


Katanya, rakyat Sabah telah memberikan isyarat yang jelas dengan menolak BN daripada berada dalam kerajaan negeri, dan sebarang cubaan untuk menafikan kehendak rakyat disifatkan tidak wajar.

“Pengalaman lalu perlu dijadikan pengajaran. Langkah-langkah sumbang politik yang berlaku pada tahun 2023, yang turut digerakkan oleh BN, tidak seharusnya berulang kerana ia telah menggugat kestabilan politik dan keyakinan rakyat,” katanya.

Apatah lagi, tambah kenyataan itu, BN sendiri secara terbuka sebelum ini enggan bekerjasama dengan GRS, malah telah melancarkan serangan politik yang luar biasa terhadap GRS serta kepimpinan parti itu.

Sehubungan itu, ujarnya, adalah tidak wajar parti itu kini tampil dengan tuntutan untuk disertakan dalam kerajaan negeri.

“Pemuda Gagasan Rakyat menegaskan bahawa fokus utama kerajaan ketika ini adalah memastikan kestabilan politik, memperkukuh pentadbiran serta mempercepatkan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat Sabah, bukannya melayani percaturan politik yang tidak berlandaskan mandat rakyat,” kataya.

Terdahulu, media melaporkan, BN hari ini sekali lagi menyatakan kesediaan bekerjasama dan menyokong pembentukan kerajaan negeri Sabah yang baharu di bawah kepimpinan Hajiji.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, berkata kerjasama itu dizahirkan demi memastikan Sabah terus berada dalam landasan kestabilan, kemakmuran dan pembangunan yang berterusan demi rakyat negeri itu. – MalaysiaGazette







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo