Dalam kenyataan, Ketua Portfolio Pengangkutan PN, YB Ir Ts Haji Khairil Nizam Khirudin, berkata parti itu bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun menegaskan kejadian tersebut mencerminkan kelemahan ketara dalam aspek keselamatan pembinaan projek mega negara.
Menurut beliau, lokasi insiden yang terletak di kawasan aliran trafik padat meningkatkan risiko terhadap ribuan pengguna jalan raya yang bergantung kepada infrastruktur selamat setiap hari.
PN dalam pada itu mendesak kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan untuk mengambil tindakan segera, termasuk:
- Menjalankan siasatan menyeluruh dan telus, merangkumi punca keruntuhan, pematuhan SOP keselamatan serta tahap pengawasan tapak.
- Melaksanakan audit keselamatan terhadap semua struktur sementara, bukan sahaja pada projek ECRL tetapi projek infrastruktur lain yang mempunyai struktur gantung atau bertingkat bersebelahan laluan aktif.
- Memperketat penguatkuasaan tatacara keselamatan pembinaan, termasuk penilaian risiko harian dan pemantauan pihak ketiga.
- Meningkatkan komunikasi risiko kepada pengguna jalan raya, seperti notis amaran awal, makluman kerja berat dan penutupan sementara kawasan sekiranya perlu.
“Keselamatan rakyat mesti menjadi keutamaan dalam setiap projek negara. Pembangunan tidak boleh mengorbankan nyawa atau meletakkan rakyat dalam keadaan bahaya akibat kecuaian,” tegas beliau.
PN turut memaklumkan bahawa pihaknya akan terus memantau perkembangan siasatan dan menuntut kerajaan bertindak secara bertanggungjawab bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

No comments
Post a Comment