NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Jangan jadikan Tabung Haji sebagai port melabur’ – Md Daud beri amaran kepada pendeposit

Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd, Datuk Md Daud Che Ngah, memberi peringatan keras kepada pendeposit Tabung Haji (TH) agar tidak terus melihat akaun TH sebagai ruang pelaburan – satu trend yang menurutnya semakin menjejaskan kemampuan jemaah menunaikan haji apabila tiba giliran dipanggil.

Bercakap pada program Road Tour Andalusia dan Karnival Jimba di Masjid Sultan Azlan Shah, Pasir Salak, Md Daud berkata ramai pendeposit terpengaruh dengan sentimen pulangan tahunan TH, sehingga mengeluarkan dana yang sepatutnya dikhaskan untuk ibadah tersebut.

“Ada orang simpan RM30,000 hingga RM40,000 – sebenarnya sudah layak pergi haji. Tapi bila pulangan TH turun sedikit, mereka keluarkan dan pindah ke pelaburan lain.
Bila surat tawaran haji datang, duit pula tak cukup,” katanya.

Menurut bekas Pengurus Besar TH itu, tindakan tersebut akhirnya memakan diri apabila pelaburan alternatif merosot atau tidak boleh dicairkan segera, menyebabkan pendeposit terpaksa menolak tawaran haji walaupun menunggu bertahun-tahun.

Dana haji bukan duit pusing modal

Md Daud menegaskan bahawa simpanan haji tidak patut disentuh, apatah lagi diperlakukan seperti akaun pelaburan jangka panjang.

“Saya pun ada pelaburan di banyak tempat, tapi duit haji saya letak dalam TH dan saya tak sentuh langsung.
Kalau nak melabur, guna duit lain. Jangan ganggu dana haji,” katanya.

Kos sebenar jauh lebih tinggi daripada sekadar ‘duit daftar’

Beliau turut menjelaskan salah faham besar dalam kalangan pendeposit — ramai menyangka bayaran RM1,300 untuk pendaftaran haji sudah memadai.

Hakikatnya, kata Md Daud, jumlah itu hanya syarat mendaftar, dan bukan bayaran haji yang sebenar.

Beliau menggariskan anggaran kos semasa:

  • RM13,000 – bayaran wajib kepada kerajaan Arab Saudi
  • RM23,600 – kos perjalanan, hotel, makan dan perkhidmatan
  • RM33,600 – jumlah keseluruhan untuk seorang jemaah

“Dari RM1,300 nak naik ke RM33,600… kalau simpanan TH tak diisi, memang mustahil untuk cukup,” katanya.

Kesihatan juga cabaran besar, penolakan meningkat

Selain faktor kewangan, Md Daud berkata peraturan kesihatan Arab Saudi kini jauh lebih ketat. Ramai yang mendaftar ketika muda namun dipanggil ketika usia 60-an, dengan penyakit kronik yang menghalang mereka melepasi pemeriksaan.

Katanya, kadar penolakan tawaran haji boleh mencecah 50 peratus, selari dengan laporan kerajaan baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sebelum ini mendedahkan bahawa 53 peratus daripada 9.7 juta pendeposit Tabung Haji mempunyai simpanan kurang daripada RM1,300 – gambaran jelas tentang ketidaksediaan kewangan majoriti pendeposit.

‘Tak berdosa jika tak mampu’

Md Daud menegaskan bahawa pendeposit tidak berdosa menolak tawaran haji sekiranya tidak memenuhi syarat kemampuan.

Namun, katanya lagi, masyarakat perlu lebih memahami konsep persediaan jangka panjang, dan berhenti menjadikan akaun TH sebagai tabungan boleh keluar-masuk sesuka hati..

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo