NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemuda Pas desak SPRM, Jabatan Audit siasat proses daftar pemain naturalisasi



KUALA LUMPUR – Pemuda Pas mendesak satu siasatan bebas dan telus dijalankan segera oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Jabatan Audit Negara bagi menyemak keseluruhan proses pengeluaran dokumen dan pendaftaran pemain naturalisasi.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, sekiranya terbukti berlaku kelalaian atau penyelewengan dokumen rasmi kerajaan, tindakan tatatertib dan undang-undang mesti diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pegawai atau pihak yang terlibat.

Jelasnya, tindakan itu termasuk di peringkat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM); Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Tambah beliau, pihaknya juga menuntut penjelasan daripada FAM dan KDN sama ada proses kelulusan naturalisasi dan pendaftaran pemain pasukan Harimau Malaya dilakukan tanpa penelitian mendalam.

Tegasnya, FAM tidak boleh berlindung di sebalik alasan teknikal kerana mereka membawa nama dan lambang Malaysia di pentas antarabangsa.

Sementara itu, Afnan Hamimi turut mempersoalkan bagaimana dokumen rasmi negara seperti sijil kelahiran boleh dikeluarkan tanpa semakan asal.

Katanya, jika benar dokumen itu disandarkan kepada maklumat dari luar negara, JPN dan KDN perlu menjelaskan tahap verifikasi dan semakan silang yang dijalankan.

“Lebih membingungkan, terdapat penyataan tempat lahir seperti “Melaka, Malaysia” atau “Pulau Pinang, Malaysia” bagi individu yang lahir sebelum tahun 1963, sedangkan pada waktu itu Malaysia belum wujud sebagai sebuah negara.

“Hal ini membuktikan kecuaian fakta sejarah dan prosedur rasmi yang sangat memalukan bagi sebuah agensi pendaftaran negara,” katanya.

Menurutnya, sebagai negara berdaulat, Malaysia tidak boleh dipandang lekeh di mata dunia kerana gagal menjaga integriti dokumen rasmi sendiri.

Katanya, kelemahan itu bukan sekadar menjejaskan reputasi pasukan bola sepak kebangsaan, tetapi juga menggugat kredibiliti sistem pendaftaran dan kewarganegaraan Malaysia.

“Pemuda Pas menegaskan bahawa isu ini bukan soal bola sepak semata-mata, tetapi berkait langsung dengan kedaulatan undang-undang, maruah negara dan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo