NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mohd Na’im tuntut RM10 juta terhadap individu didakwa fitnah isu sekolah pondok

SHAH ALAM, 28 Okt (Bernama) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, mengemukakan notis tuntutan (Letter of Demand, LOD) bernilai RM10 juta terhadap seorang pengguna Facebook berhubung dakwaan fitnah melibatkan isu penutupan sekolah pondok di Kelantan dan Kedah.

Notis berkenaan disediakan oleh firma guaman Messrs Akberdin & Co dan dialamatkan kepada Muhammad Hafiz Sahidi di Marang, Terengganu.

Menurut dokumen tuntutan yang diperoleh, Mohd Na’im menuntut supaya individu terbabit menarik balik, memadam dan menghentikan semua kenyataan fitnah di media sosial serta membuat permohonan maaf tanpa syarat dalam tempoh 48 jam dari tarikh penerimaan notis tersebut.

“Permohonan maaf itu perlu disiarkan di semua platform media sosial milik individu berkenaan selama 30 hari,” menurut kenyataan firma guaman itu.

Tuntutan turut meminta bayaran pampasan munasabah bagi kerosakan dan aib yang dialami Mohd Na’im akibat kenyataan tersebut. Sekiranya gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil termasuk tuntutan ganti rugi RM10 juta serta kos dan faedah lain yang ditetapkan mahkamah.

Surat tuntutan itu turut menyatakan bahawa sekiranya individu berkenaan bersedia memperbetulkan tuduhan dan memohon maaf, jumlah ganti rugi boleh dikurangkan. Namun, sekiranya Mohd Na’im terpaksa melalui proses perbicaraan panjang, beliau berhak menuntut gantirugi maksimum bagi membersihkan reputasinya.

Mohd Na’im mendakwa individu tersebut, menggunakan akaun Facebook bernama Hafiz Sahidi, telah memuat naik beberapa hantaran berunsur fitnah yang disifatkan sebagai serangan berniat jahat terhadap reputasi dan integriti beliau.

“Kenyataan tersebut tidak benar, melulu dan dibuat dengan niat menjatuhkan kredibiliti saya serta kerajaan Madani, khususnya dalam isu melibatkan sensitiviti agama dan institusi pondok,” katanya.

Beliau berkata, laporan polis telah dibuat pada 24 Oktober dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mohd Na’im turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membantu siasatan bagi mengenal pasti identiti sebenar penyebar fitnah tersebut.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo