NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PKR terbuka dikritik MP sendiri, raikan perbezaan pendapat – Saifuddin



KUALA LUMPUR – Kritikan sekumpulan ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung isu institusi kehakiman semalam menunjukkan parti itu bersifat terbuka dan meraikan perbezaan pendapat sesama mereka.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia juga menunjukkan PKR dan Kerajaan Madani meraikan kebebasan dalam memberi pandangan.

Malah beliau turut berterima kasih dan meraikan pandangan serta kritikan oleh kumpulan ahli Parlimen PKR berkenaan yang diketuai Ahli Parlimen Pandan yang juga bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.

“Dan itu juga adalah pandangan daripada backbencher (penyokong) terhadap kerajaan hari ini. Bagi orang lain mungkin nampak pelik tapi bagi Keadilan (PKR), parti ini terbuka, kita meraikan pendapat dan kebebasan dalam memberikan pandangan.

“Saya ucap terima kasih, saya hargai pandangan-pandangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan pada program INTAN Minister’s Conversation (IMC) 2025 di sini hari ini.

Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri ditanya berkenaan tindakan sekumpulan tujuh Ahli Parlimen PKR yang diketuai Rafizi semalam yang mengadakan sidang akhbar berhubung kontroversi institusi kehakiman.

Dalam sidang akhbar itu, mereka mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.

Selain itu, mereka turut membangkitkan berkenaan dakwaan seperti pencalonan hakim yang tidak diangkat; pelantikan utama yang tergendala dan prosedur mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang dipersoalkan.

Sementara itu, ditanya sama ada kritikan kumpulan ahli Parlimen PKR berkenaan akan memberi kesan kepada kestabilan PKR dan Kerajaan Madani, Saifuddin Nasution berkata, perkara tersebut tidak berbangkit memandangkan Rafizi sendiri menegaskan mereka masih terus mendukung kerajaan.

“Sebagai sebuah parti, PKR ini adalah parti yang terbuka, pandangan yang lebih tajam daripada itu pun kita pernah terima,” katanya. – MalaysiaGazette






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo