KUALA LUMPUR – Proses rakaman keterangan seorang individu bergelar Tan Sri berhubung penyelewengan dana pembinaan lebuh raya di Lembah Klang akan disambung minggu hadapan atas faktor kesihatan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu berkata, penangguhan itu susulan nasihat doktor yang merawat Tan Sri berkenaan.
“Rakaman percakapan masih belum selesai kerana doktor sahkan beliau (Tan Sri) tidak sihat dan perlu ditangguhkan terlebih dahulu.
“SPRM akur dengan nasihat doktor, apabila keadaan (Tan Sri) mengizinkan kita akan menyambung percakapan beliau, mungkin minggu hadapan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ditanya mengenai rakaman percakapan yang berlangsung hari ini, beliau berkata, proses keterangan bersama Tan Sri itu mengambil masa kira-kira dua hingga tiga jam sebelum dinasihatkan doktor.
Dalam pada itu, mengenai kehadiran Pasukan Taktikal SPRM (ACTS) di kediaman Tan Sri tersebut, Azam menjelaskan, penggunaan pasukan itu bergantung kepada keperluan pasukan penyiasatnya.
“Memang betul mereka menggunakan Pasukan ACTS dan ada sebab mereka perlu menggunakan pasukan ini bagi bertujuan keselamatan barang atau pemeliharan barang bukti yang akan diperoleh.
“Jadi saya tidak mahu membuat sebarang ulasan terperinci lagi, (kerana) masih belum mendapat maklumat apa yang diperoleh semasa penggeledahan dibuat di rumah Tan Sri berkenaan
“Saya akan maklum kemudian berkaitan ACTS ini dan pastinya penggunaan pasukan itu untuk keperluan dari segi keselamatan semasa pemeriksaan barang-barang yang mungkin dirampas atau disita,” jelasnya.
Berhubung dakwaan bilik rahsia yang menyimpan senjata di kediaman mewah Tan Sri itu, Azam menjelaskan perkara itu akan dimaklumkan kemudian sehingga maklumat terperinci diperoleh.
Pasukan Taktikal SPRM tiba di kediaman Tan Sri itu pada jam 10.50 pagi.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, sebanyak empat buah kenderaan dilihat tiba di kawasan kediaman pemegang konsesi lebuhraya yang terletak di Bandar Tasik Selatan itu.
Pada 3 Jun lalu, SPRM menyenaraikan sitaan harta berjumlah kira-kira RM143 juta yang dirampas dalam siasatan penyelewengan dana sukuk untuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
Pasukan siasatan SPRM juga sedang mengesan kenderaan mewah dan hartanah milik Tan Sri terbabit di dalam serta luar negara, termasuk di London dan Switzerland. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment