KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) Selangor hari ini menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Datuk Seri Amirudin Shari untuk terus kekal sebagai Menteri Besar Selangor sehingga tamat penggal pentadbiran sedia ada.
Sokongan itu dizahirkan menerusi satu kenyataan bersama yang ditandatangani tiga pimpinan tertinggi PH negeri, iaitu Timbalan Pengerusi PH Selangor yang juga Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han, Pengerusi Amanah Selangor, Datuk Izham Hashim dan Timbalan Pengerusi KEADILAN Selangor, Datuk Borhan Aman Shah.
Menurut kenyataan itu, pentadbiran Amirudin bukan sahaja dilihat stabil serta progresif, tetapi juga berperanan penting dalam menjayakan pelbagai dasar dan agenda pembangunan negeri yang sedang giat dilaksanakan.
“Kesinambungan kepimpinan Amirudin amat penting bagi memastikan pelbagai projek mega dan dasar rakyat dapat diteruskan secara konsisten.
“Ini termasuk Rancangan Selangor Kedua (RS-2), pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, pelaksanaan agenda Iltizam Selangor Penyayang, serta pembinaan semula Kompleks Stadium Shah Alam,” kata kenyataan bersama itu.
Pimpinan PH Selangor turut menjelaskan kestabilan politik negeri perlu dipelihara bagi memberi keyakinan kepada pelabur tempatan dan antarabangsa serta mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai enjin utama ekonomi negara.
“Gabungan pengalaman beliau dalam mentadbir negeri dan ketokohan beliau sebagai Pengerusi PH Selangor telah memainkan peranan penting dalam memacu kerjasama antara PH dan Barisan Nasional di Selangor.
“Ini terbukti membawa kepada kejayaan membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu,” tambah mereka lagi.
Mereka juga berpandangan Amirudin merupakan tokoh yang tepat untuk terus mengetuai pentadbiran negeri demi menjayakan agenda Malaysia Madani digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sebagai negeri paling maju dan berpendapatan tinggi, kepimpinan berterusan Amirudin diperlukan bagi memastikan Selangor terus menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara, malah berupaya menjadi contoh tadbir urus cemerlang di peringkat negeri,” ujarnya.
Kenyataan ini dikeluarkan di tengah-tengah spekulasi politik dan desas-desus berkaitan kedudukan Amirudin sebagai Menteri Besar.
Dalam pada itu, pimpinan PH Selangor dengan tegas menolak sebarang cubaan untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri dan menegaskan bahawa fokus utama mereka adalah untuk menjaga kepentingan rakyat Selangor.
“Pakatan Harapan Selangor akan terus berdiri teguh bersama Amirudin bagi memastikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat dapat diteruskan dengan lancar dan berkesan,” tegasnya. -MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment