NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PH ingin diberi laluan 'berperanan' di Johor pada pilihan raya



JOHOR BAHRU - Barisan Nasional (BN) dan UMNO Johor disaran membuka ruang kepada Pakatan Harapan (PH) di negeri ini untuk berperanan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Gesaan itu dibuat Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda susulan saranan dan cadangan Ketua Pemuda UMNO Johor, Azleen Ambros terkait peluang lebih baik untuk menang pada pilihan raya akan datang dengan gabungan PH-BN.

"Saya ambil maklum dan menyambut baik saranan dan cadangan Ketua Pemuda UMNO Johor yang juga sahabat saya, Azleen Ambros terkait peluang lebih baik untuk menang (pilihan raya akan datang) dengan gabungan PH-BN.

"Sebagai langkah awal dalam mengukuhkan lagi agenda ini, saya cadangkan untuk UMNO-BN Johor mulakan dengan membuka ruang kepada PH Johor untuk berperanan dalam Kerajaan Negeri Johor.

"Walaupun bukan sebagai Exco kerajaan negeri tetapi ketua-ketua komuniti di peringkat akar umbi seperti ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT), ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan Kampung (JKKK) patut digerakkan atas nama (kerajaan) Perpaduan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau percaya kerjasama berkenaan mampu memperkukuh penyampaian perkhidmatan rakyat dengan kadar yang lebih maksimum melalui kepimpinan kedua-dua gabungan itu.

Jelasnya, ini temasuk memperkukuh kestabilan politik Johor sekali gus membuktikan kepada kepada rakyat bahawa kerajaan Perpaduan bukan sekadar slogan dan laungan tetapi benar-benar berfungsi dengan baik.

"Saya yakin bahawa Johor, mampu menjadi suri tauladan dalam landskap politik negara sekiranya UMNO-BN berbesar hati dan sudi untuk membuka peluang ini," ujarnya.

Sebelum ini sebuah portal melaporkan Noor Azleen memberitahu BN mempunyai peluang lebih baik untuk memenangi kerusi Parlimen Tier 2 pada pilihan raya umum (PRU) akan datang jika berganding bahu dengan PH.

Noor Azleen berkata, pihaknya yakin kerjasama tersebut boleh mencakupi kerusi dalam kategori Tier II.

Kerusi yang telah dan sedia dimenangi BN-PH adalah Tier I, manakala dua gabungan berkenaan kalah dalam kerusi kategori Tier II.

Pada PRN Johor 2022, UMNO dan BN menang 40 daripada 56 kerusi dengan PH terdiri DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.

PN pula menang tiga kerusi dengan Bersatu dua, manakala Pas, satu sementara Parti Ikatan Demokratik (Muda) juga satu kerusi.



Sumber | Sinar Harian









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo