JOHOR BAHRU - Langkah membawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) lebih demokratik dan terbuka telah dilakukan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila tidak menghalang jawatan dua jawatan tertinggi parti dipertandingkan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, pemilihan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden menjadi tumpuan sebelum ini dan kini peluang dibuka lebih satu juta ahli menentukan kepimpinan tertinggi parti tersebut pada Mei depan.
"Bukan hari-hari PKR berdepan pemilihan, cuma tiga tahun sekali. PKR adalah parti demokrasi keputusan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat positif dan memberikan gambaran yang baik kepada anak muda dan akan menarik minat dengan PKR.
"Biarkan dua jawatan tersebut dipertandingkan, kalau siapa-siapa ahli parti nak lawan, lawanlah. Bagi mereka bertanding.
"Kita harap perkara ini (amalan seperti ini) akan diteruskan bukan sahaja dalam pemilihan kali ini tetapi juga pemilihan pada tahun-tahun akan datang," katanya.
Bekas Pengerusi PKR Johor itu berkata demikian ketika ditemui selepas hadir dalam Rumah Terbuka Parlimen Tebrau 2025 Bersama PKR Johor di Tebrau di sini pada Ahad.
Hadir sama, Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse merangkap Ahli Parlimen Tebrau, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohamad Taufiq Ismail dan Naib Ketua AMK Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad.
Pada Sabtu, Anwar dilaporkan berkata, beliau menyerahkan kepada parti untuk memutuskan sama ada jawatan presiden dan timbalan presiden PKR perlu dipertandingkan atau tidak, pada pemilihan parti Mei depan.
Anwar berkata, beliau menghormati demokrasi dalam parti dan tidak mahu mencampuri urusan berkenaan.
Pada 1 Februari lalu, media melaporkan PKR berkemungkinan tidak akan mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti yang dijadual berlangsung pada Mei ini.
Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, cadangan itu berdasarkan beberapa pandangan daripada proses rundingan dalaman yang diadakan sebelum ini.
Hassan pada 2 Februari lalu mempersoalkan kewajaran dua jawatan tertinggi PKR kemungkinan tidak dicabar pada pemilihan parti itu, Mei depan.
Hassan berkata, PKR adalah parti yang demokratik, justeru biarlah proses menentukan dua jawatan tertinggi itu dicabar atau ditandingi berlaku secara semula jadi yang ditentukan ahli parti.
Lebih menimbulkan persoalan kepada beliau apabila jawatan timbalan presiden yang disandang Datuk Seri Rafizi Ramli juga dicadangkan untuk tidak dicabar.
Beliau yakin PKR mempunyai ramai pemimpin kanan yang layak mencabar jawatan nombor dua parti.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment