BANGI, 27 SYAABAN — Dewan Ulama PAS menyelar tindakan biadap Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tafsiran salah terhadap kewajipan berpuasa dalam Al-Quran.
Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata Perdana Menteri tidak boleh menyamakan ibadah puasa umat Islam dengan penganut agama lain berdasarkan dalil Al-Quran.
“Dewan Ulama PAS ingin menyatakan teguran kepada Perdana Menteri di atas kekhilafan beliau yang menafsirkan ayat tersebut dan meletakkannya dalam konteks yang salah.
“Menyandarkan maksud puasa dalam satu bakul semua agama berpuasa apatah lagi menggunakan ayat Al-Quran sebagai hujah adalah perbuatan yang tidak beradab.
“Maksud ‘umat terdahulu berpuasa’ dalam ayat Al-Quran adalah atas dasar syariat, ketauhidan dan kepatuhan ke atas ajaran Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas video tular di media sosial yang menunjukkan Anwar memetik ayat Al-Quran daripada Surah Al-Baqarah ayat 183 mengenai kewajipan berpuasa.
Anwar menerusi video seminit mendakwa penganut bukan Islam juga berpuasa dengan menggunakan dalil dari Surah Al-Baqarah ayat 183.
Katanya, penganut bukan Islam berpuasa dengan niat dan syarat tersendiri sebagaimana yang disebutkan dalam Al-Quran.
Ahmad Yahaya berkata pihak berkuasa agama perlu serius memberi teguran kepada Anwar selepas Presiden PKR itu memberi tafsiran salah kepada Al-Quran.
Katanya, ayat berpuasa “sepertimana umat terdahulu” tidak harus menjadi sandaran hujah bahawa orang bukan Islam juga berpuasa seperti mana umat Islam.
“Ia tidak boleh ditafsirkan bahawa golongan bukan Islam juga berpuasa dengan disandarkan kepada ayat ‘umat terdahulu juga berpuasa’.
“Puasa yang diamalkan bukan Islam seperti mana puasa 40 hari sebelum Hari Easter, puasa orang Yahudi mahupun Hindu tidak sama dengan ajaran tauhid.
“Sewajarnya pihak berkuasa agama yang menasihati Perdana Menteri menangani salah faham ini sebelum ia terus merosakkan sisi pandang masyarakat terhadap puasa,” katanya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment