Wong Chin Huat dari Sunway Universiti berkata, ‘anjakan paradigma radikal’ ini langkah pertama perlu diambil Malaysia untuk beralih daripada struktur politik ‘majoritarian’.
Wong berkata sistem ‘majoritarian’ yang memberikan kemenangan mutlak memberi manfaat kepada Umno sehingga 2018, kini memberi kesan buruk ke atas parti itu apabila tersepit antara seterunya iaitu PAS dan sekutunya, Pakatan Harapan.
“Sebelum ini, Umno dan Barisan Nasional (BN) mampu memonopoli kerusi majlis tempatan tanpa pilihan raya. Disebabkan itulah ia menggantung pilihan raya tempatan pada 1965 sebelum dimansuhkan sepenuhnya pada 1976,” katanya kepada FMT.
“Apabila sesebuah gabungan menang sebuah negeri, ia meraih semua kerusi majlis tempatan. Sebelum 2008, ini dipegang BN-Umno di kebanyakan negeri di Semenanjung.
“Semua jawatan ahli majlis PBT menjadi jawatan untuk diagihkan oleh pemimpin parti. Bagaimanapun, ini melemahkan daya saing BN kerana ahli majlis ini tidak perlu popular untuk dilantik.”
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi BN Wilayah Persekutuan Johari Ghani bahawa gabungan pimpinan Umno itu perlu membuang empat ‘penyakit’ jika mahu kembali kuat.
Antara ‘penyakit’ dinyatakan Johari adalah ‘inertia’ iaitu enggan buat perubahan, yang menurutnya mengakibatkan BN buat ‘business as usual’ (seperti biasa) dan enggan membuat perubahan dalam parti.
Menurut Wong, tanpa pilihan raya tempatan semua 31 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis menjadi ‘pusat latihan’ untuk ahli politik bawahan PN.
Ini satu-satunya sebab PAS begitu kuat bertapak di empat negeri itu, katanya.
“Di Selangor (12 majlis) dan Pulau Pinang (dua) di bawah rakan sekutunya PH sekalipun, Umno semakin merosot.
“PH tidak beri Umno banyak kerusi ahli majlis PBT kerana parti itu kekurangan sokongan pengundi, tetapi tanpa kerusi itu, Umno tidak mungkin mampu mengukuhkan kedudukan di dua negeri berkenaan.
“Apakah Umno akan pulih jika ia tewas sama sekali di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, dan kecil di dua negeri kaya yang ditadbir PH?” soalnya.
Wong berkata, untuk Umno menghadapi ‘hegemoni’ Perikatan Nasional dalam kalangan orang Melayu bergantung pada keupayaannya mencabar PAS di empat negeri terbabit dan bersaing secara sihat dengan PH di negeri-negeri lain di Semenanjung.
“Pemugaran Umno memerlukan Malaysia beralih daripada majoritarianisme. Umno perlu desak kerajaan Madani memperkenalkan pilihan raya tempatan di negeri PH dulu, yang pasti akan disokong penyokong PH.
“Reformasi lain yang patut didesak Umno termasuk desentralisasi, pilihan raya senator, dan sistem ‘mixed-member’ dengan kerusi ‘party-list proportional representation’ di samping kerusi ‘first-past-the-post’,” katanya.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment