KUALA LUMPUR- Kerajaan sedang menguji keberkesanan produk Teknologi Tebatan Banjir dari Denmar yang dikenali sebagai NoFloods yang mampu mengurangkan risiko jalan cepat rosak dan terputus akibat banjir.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan berkata, teknologi yang kini di peringkat Proof of Concept (POC) telah dipasang di sepanjang 200 meter Jalan Seberang Jerteh Sempadan Negeri Kelantan, daerah Besut, Terengganu (FT189).
“Produk yang menggunakan teknologi Internet of Things (IOT) ini telah dipasang bermula pada 1 Oktober 2024 sehingga 31 Mac 2025 bagi proses ujian dan percubaan selama enam bulan. Tempoh ujian ini adalah selaras dengan tempoh musim tengkujuh di negeri Terengganu.
“Sehingga kini, teknologi NoFloods ini telah berjaya menghalang air daripada merentasi jalan yang boleh menyebabkan banjir berlaku dan memutuskan perhubungan jajaran jalan raya.
“Catatan ketinggian paras air yang direkod adalah setinggi 0.9 meter dari aras tanah dan alat ini mampu menampung sehingga 1.2 meter ketinggian aras air banjir,” katanya hari ini.
Selain tinjauan pengujian POC teknologi tebatan banjir, beliau turut meninjau lokasi-lokasi cadangan kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan di Daerah Dungun, Terengganu yang dicadangkan dilaksanakan pada tahun 2025.
Katanya, tiga lokasi yang menjadi keutamaan kerja penyenggaraan jalan tersebut ialah Jalan Kuala Terengganu – Kuantan (FT003) di Seksyen 463-465, Jalan Bukit Besi – Dungun (FT132) di Seksyen 8-10 dan Jalan Jerangau – Jabor (FT14) di Seksyen 117-118.
“Untuk tahun 2025, KKR telah mengenal pasti dan memohon 228 bilangan kerja penyenggaraan berkala pavemen bernilai RM301.77 juta dan 197 bilangan kerja berkala bukan pavemen bernilai 9 juta bagi Jalan Persekutuan di Negeri Terengganu,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment